"Ya Allah,
kami memohon keampunan Mu ya Allah. Kami memohon rahmat Mu ya Allah. Kami
memohon taufik dan hidayah Mu, ya Allah. Kami dijemput oleh Mu bagi menunaikan
ibadah umrah pada tahun ini. Kami bersyukur atas segala nikmat yg Engkau
berikan kepada kami sekeluarga.
Ya Allah, terimalah
kami sebagai tetamu Mu ya Allah. Tetamu yang paling istimewa ya Allah, tetamu
yang paling-paling istimewa ya Allah. Kami tahu, Engkaulah yang berkuasa
memberi keistimewaan kepada sesiapa yang Engkau mahu berikan. Ya Allah,
ampunilah diri kami ya Allah.
Ya Allah, Kau
peliharalah keselamatan dan kesihatan ahli keluarga kami di Malaysia.
Tenangkanlah hati mereka. Jangan Kau cetuskan rasa rindu kepada kami sepanjang
kami menjadi tetamu Mu ya Allah. Kau hilangkan lah rasa rindu kami kepada
mereka semasa kami berada di sana.
Ya Allah,
berikanlah kesihatan kepada ibu bapa kami dan pembantu rumah kami. Kau
lindungilah mereka. Masukkanlah mereka dikalangan orang yang beriman dan
beramal soleh. Kau balaslah budi baik mereka yang sanggup bersusah payah
menjaga anak kami dengan memberi kemuliaan, kesejahteraan dan kebahagian di
dunia dan akhirat. Kau ampunilah dosa dosa mereka ya Allah.
Ya Allah, Kau
ampunilah diri kami. Ya Allah, kami pergi ke rumah Mu semata mata untuk beramal
ibadah kepada Mu. Janganlah Kau palingkan niat dan tujuan kami. Jangan Kau
sukarkan perhubungan antara kami.
Ya Allah, Kau
berilah perasaan kasih sayang, cinta mencintai antara kami suami isteri dan
adik beradik, saling maaf bermaafan dan tidak cepat berasa tersinggung dan
bermasam muka. Jadikanlah kami saling faham memahami dan saling kasih
mengasihi. Ya Allah, jauhilah kami dari bertelingkah dan berselisih faham yang
boleh menjejaskan amal ibadah kami di sana nanti ya Allah. Jangan Kau uji kami
dalam soal ini ya Allah.
Ya Allah,
permudahkanlah perjalanan kami. Bermula dari kami keluar dari rumah ini
sehinggalah kami kembali ke sini. Janganlah kami terjebak dengan sebarang
kesulitan yang menyukarkan kami untuk sampai ke rumah Mu. Jauhilah kami dari
mala petaka atau bencana yang akan menimpa kami Ya Allah.
Ya Allah, jangan
Kau pisahkan kami. Berilah ketenangan, keamanan dan kemudahan terutamanya dalam
soal-soal kesihatan sepanjang perjalanan kami. Elakkan kami dari perasaan kerap
membuang air kecil. Peliharalah kesihatan kami, mudah mudahan dengan kesihatan
yang Kau berikan. Dapatlah kami beramal ibadah untuk mendekatkan diri kami
kepada Mu.
Ya Allah, hanya
pada Mu lah, tempat kami bergantung harap. Berikanlah kemudahan kepada kami
sekeluarga. Berikanlah keistimewaan kepada kami dalam segala perkara.
Tempatkanlah kami dikawasan yang berdekatan dengan Masjidil Haram. Ya Allah,
kami memohon kepada Mu agar tempat tinggal kami tidak menjadi penghalang kepada
tujuan kedatangan kami ke Tanah Haram ini.
Ya Allah, kami mahu
beramal ibadah kepada mu. Semata mata untuk Mu, ya Allah. Permudahkanlah makan
minum kami dan berikanlah kesihatan yang baik sepanjang kami di sana. Kau
berikanlah kesabaran kepada kami dalam menghadapi sebarang cabaran dan dugaan
disana nanti.
Ya Allah, semasa
kami di Madinah nanti, Kau berikanlah rasa cinta, rasa sayang dan rasa kasih
kepada Masjidil Nabawi. Ya Allah, kami mahu yang terbaik. Kamu mahu beramal
ibadah di sana. Berikanlah kami peluang menziarahi dan melalui Makam
Rasulullah. Berilah kami ruang untuk bersembahyang di Raudah. Cukupkanlah
sembahyang kami sekurang kurangnya 40 waktu secara berterusan.
Berilah kami
peluang untuk melakukan yang terbaik di sana nanti ya Allah.
Ya Allah, kami akan
mengerjakan ibadah umrah. Kau terimalah ibadah ini ya Allah. Semasa kami di
Mekah nanti, mudahkanlah kami melakukan ibadah umrah Ya Allah.
Berikanlah laluan
dan lorongan bagi kami melakukan tawaf umrah. Permudahkanlah kami melakukan
sai’. Ya Allah, berikanlah kekuatan dan kesihatan untuk kami melakukan amal
ibadah ini. Ya Allah, jangan Kau uji kami dengan rasa jarak yang jauh, hati
yang malas dan tenaga yang tiada.
Ya Allah, semasa
kami berada di Tanah Haram nanti, janganlah Kau lalaikan kami dengan bersenang
lenang dan malas beramal ibadah. Ya Allah, kami hadir sebagai tetamu Mu dalam
keadaan jahil. Kaulah yang dapat membantu kami.
Ya Allah,
berikanlah kami perasaan jatuh cinta kepada Masjidil Haram. Gerakkanlah hati
kami supaya sentiasa berada di sana. Beramal ibadah di sana. Itulah cita-cita
kami ya Allah. Kami datang semata mata kerana Mu ya Allah. Kerana Mu ya Allah.
Ya Allah, tutuplah pintu hati kami daripada lalai membeli belah di sana nanti.
Ya Allah, penuhilah
ruang masa kami dengan melakukan amal ibadah yang sepatutnya kami lakukan. Ya
Allah, kami ingin khatam Al Quran di Masjidil Haram Ya Allah. Ya Allah, kami
ingin bersembahyang di Hijir Ismail Ya Allah. Ya Allah, kami ingin mencium
Hajar Aswad. Ya Allah, kami ingin berdoa dihadapan Multazam ya Allah. Berilah
ruang kepada kami apabila kami memerlukannya ya Allah. Berikanlah rasa kasih
yang mendalam kepada Masjidil Haram.
Ya Allah, Kau
ajarlah kami. Kau bantulah kami. Kau tunjukkanlah dengan sebaik-baik
pengajaran. Kau berikanlah ilham untuk kami melakukan yang terbaik. Hanya yang
terbaik untuk Mu ya Allah. Ampunilah kami ya Allah, hanya kepada mu tempat kami
berserah dengan sesungguhnya.
Ya Allah,
gerakkanlah hati kami untuk melakukan umrah sunat sebanyak mungkin. Ya Allah,
gerakkanlah hati kami bagi membanyakkan amal di Masjidil Haram. Berikanlah
perasaan kasih sayang, cinta dan keinginan untuk berada di sana. Ya Allah, mudahkanlah
untuk kami melakukan ibadah tawaf, bersembahyang dan membaca al quran.
Ya Allah, ampunilah
kami. Permudahkanlah perjalanan kami dari Madinah ke Mekah. Jauhilah kami
daripada sebarang mala petaka. Jangan Kau uji kami dengan sesuatu yang tidak dapat
kami memikulnya Ya Allah. Berikanlah kesihatan kepada kami. Amankan hati kami.
Tenangkan perasaan kami. Ingatkan kami untuk bertalbiah di sepanjang jalan.
Ya Allah, mudahkan
urusan kami sepanjang menjadi tetamu Mu. Ya Allah, tetapkan hati kami untuk beramal
ibadah. Ya Allah, kuncilah mulut kami daripada bercakap perkara yang tidak
memberi faedah. Jauhilah kami daripada mereka yang suka bersembang,
menghabiskan masa dan membazir waktu.
Ya Allah,
berikanlah taufik dan hidayah Mu kepada kami. Kau berikanlah kerahmatan Mu
kepada kami. Ya Allah,selepas selesai segala-galanya, kami memohon kepada Mu,
permudahkanlah perjalanan pulang kami. Jauhilah kami dari malapetaka sepanjang
perjalanan pulang kami. Berikanlah keselamatan kepada kami sehingga kami dapat
berjumpa dengan ahli keluarga kami. Ya Allah, Kau berkatilah kami ya Allah.
Ampunilah kami ya Allah.
Ya Allah, kami ini
adalah manusia jahil. Kami ini manusia yang kerdil. Kami banyak dosa kepada Mu.
Ampunilah kami. Kami pergi menunaikan umrah semata mata kerana ketakutan dan
keinginan untuk menyampaikan rasa syukur kami kepada Mu. Kau yang Maha
Berkuasa. Kau yang memakbulkan segala permohonan hamba Mu. Ya Allah, kami mahu
yang terbaik, yang teristimewa dan yang terpilih diantara jutaan hamba-hamba
Mu.
Ya Allah,
berikanlah dan kurniakanlah umrah yang mabrur kepada kami sekeluarga, umrah
yang Kau redhai dan yang mulia disisimu. Ya Allah, apabila kami pulang ke
Malaysia nanti, kami mahu berubah ya Allah. Kami mahu menjadi manusia yg lebih
baik disisimu.
Ya Allah,
berikanlah kebahagian kepada kami sekeluarga. Berikanlah rezeki yang halal dan
jauhilah kami daripada mereka yang suka membuat fitnah. Kaulah yang mencipta
kami dan kami hanyalah hamba Mu yang hina dan tidak berpengetahuan.
Ya Allah, sekiranya
kami dipanggil oleh Mu, Kau masukkanlah kami dikalangan orang yang beriman,
mereka yang beramal soleh. Kau tempatkanlah kami di dalam syurga Mu yang paling
istimewa. Syurga Firdaus ya Allah. Kami mohon keredhaan Mu.
Kredit tu http://sallymzain.blogspot.com
Kredit tu MariaFirdaus
MOHON SHARE DOA YA..NANTI SAYA EDIT UTK SAYA BOLEH KE PUAN?
ReplyDeleteMohon share doa untuk kegunaan saya dan suami
ReplyDeleteMohon share doa ini ye.. terima kasih.
ReplyDeleteMohon share ya, terima kasih
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeletesaya mohon untuk share doa ini dan dihalalkan segalanya. semoga puan dirahmati Allah..Terima kasih
ReplyDelete