Friday, August 21, 2015

BILA USIA FIRAS DAH 4 BULAN

Dah pandai bergaya cucundaku...
Hari ni drive dari Hotel Pantai Puteri Melaka. Aku malas pulang ke rumah...lalu ke kedai melepas rindu pada Firas...

Dah meniarap tak berhenti sampai kepenatan...

Wednesday, August 19, 2015

JUBLI EMAS SMKSM

15.8.2015...Majlis Jubli Emas SMSM yg kini dikenali sebagai SMK SERI MUDA (SMKSM) di Penaga.
Seronok dapat berjumpa kembali guru2 dan rakan2 setelah lebih 30 tahun tak bertentang mata.
Rasa teruja apabila dapat peluang menjelajah sekolah yg byk menyimpan kenangan selama 5 tahun aku di sini.
Terima kasih suamiku yg setia menemaniku...
Terima kasih kedua2 kakakku yg turut hadir memberi sokongan...
Terima kasih guru2ku yg telah byk mencurahkan ilmu pdku...
Terima kasih kawan2ku yg byk menyuntik semangat padaku...
Terima kasih pd warga SMKSM yg sudi menjemput kami...
Terima kasih buat Datin Seri Isma atas sumbangan 2 ekor lembu...
TERIMA KASIH SEMUA.....

Tuesday, July 21, 2015

8 TANDA DITERIMANYA AMAL DI BULAN RAMADHAN

Copy n paste drpd kawan

Al-Alim al-Allamah al-Habib Zain bin Ibrahim bin Smith Hafidzahullah, ulama besar dari Madinah, berkata:

1.Barangsiapa yang sebelum Ramadhan suka tidur setelah Subuh, maka sekarang dia tidak lagi suka tidur setelah Subuh, melainkan berzikir kepada Allah sampai matahari terbit.

2.Barangsiapa yang sebelum Ramadhan tidak bangun malam untuk beribadah, maka setelah Ramadhan dia menjadi orang yang suka menghidupkan malam.

3.Barangsiapa yang sebelum Ramadhan tidak mengindahkan solat berjamaah, maka setelah Ramadhan dia selalu menjaga solat berjemaah.

4.Barangsiapa yang sebelum Ramadhan tidak menyukai ilmu dan ulama, maka setelah Ramadhan dia menjadi orang yang suka kepada ilmu dan ulama.

5.Barangsiapa yang sebelum Ramadhan tidak mengindahkan solat Dhuha dan solat Witir, dan solat sunah Rawatib, maka setelah Ramadhan dia senantiasa menjaga untuk melakukan solat-solat tersebut.

6.Barangsiapa yang sebelum Ramadhan suka melihat perkara-perkara haram, maka setelah Ramadhan dia menjadi orang yang takut kepada Allah, dan memelihara pandangannya.

7.Barangsiapa yang sebelum Ramadhan suka durhaka kepada kedua orang tuanya, maka setelah Ramadhan dia menjadi orang yang berbuat kebajikan kepada kedua orang tuanya, melayani sepenuh hati.

8.Barangsiapa yang sebelum Ramadhan suka memutuskan tali keluarga, maka setelah Ramadhan dia menjadi orang yang menjalin silaturahim kepada kerabat.

Inilah tanda-tanda diterimanya amalan ibadah di bulan Ramadhan, dan tanda dibebaskannya dari api neraka.

Adapun jika yang terjadi malah sebaliknya, maka dia menjadi orang yang terhalang dari kebaikan, sebab segala sesuatu tidak naik meningkat, maka dia telah menyia-nyiakan umurnya secara begitu saja. Dia tidak maju ke depan, melainkan malah terus mundur ke belakang. 

Sebagaimana yang telah dikatakan oleh ulama:

من طلب التقدم تقدم ومن طلب التأخر تأخر
Barangsiapa yang menginginkan kemajuan, maka dia akan diberi taufiq sehingga dia boleh maju. Barangsiapa yang menginginkan kemunduran, maka dia akan terperosok pada mundur.

Mudah mudahan kita mendapat bahagian daripada bulan Ramadhan sehingga kita boleh sedikit demi sedikit memperbaiki iman dan ibadah kita.....

SYAIR INSAN YANG MALANG

Syair ini adalah kisah benar bermula di tahun 1930an di Tanah Melayu yang dikarang bersamaku. Sesungguhnya kisah ini bakal menjadi ingatan buat generasi masa kini.....al fatihah buat arwah ibuku...1935 - 1995
------------------------------------

Marilah taulan kita mendengar,
Kisah sedih tetapi benar,
Seorang insan mencari sinar,
Keluarga miskin hidup terbiar.

Ke sana ke sini mereka merayau,
Mencari rezeki pelusuk rantau,
Tiada siapa yang ambil hirau,
Keluarga papa dihina dihalau.

Akhirnya menetap di sebuah pondok,
Sangat kecil sertalah buruk,
Di situlah baring di situlah duduk,
Terpisah jauh di suatu ceruk.

Bersama lima abang dan adik,
Selalu diasuh serta dididik,
Agar menjadi manusia yang cerdik,
Tiada ditipu dihentak diherdik.

Saban hari kuih dijaja,
Berjalanlah dia merata-rata,
Supaya kuih habis segala,
Tentu di rumah ibu gembira.

Sekali lagi ditimpa malang,
Tatkala Inggeris datang bertandang,
Pondok yang kecil disuruh tumbang,
Konon penyemak mata memandang.

Terlalu pilu rasa di hati,
Rayuan dibuat sudahlah pasti,
Akhirnya menerima ganti rugi,
Tujuh puluh ringgit wang diberi.

Lalu diserah kepada kawan,
Sebagai upah tempat kediaman,
Wang diambil lesap di tangan,
Rumah dijanji tiada ditunaikan.

Tinggallah menumpang walaupun sulit,
Menjaga seorang tua yang sakit,
Menanti ajal sangatlah perit,
Hati yang tabah tiada menjerit.

Ke hadrat Ilahi kembalilah si tua,
Rumah ditinggal menjadi pusaka,
Sebagai balasan jasa mereka,
Menjaga dia sepanjang masa.

Walau hidup serba kesempitan,
Namun ilmu tidak dilupakan,
Anak-anak diberi pelajaran,
Sekadar terdaya ibu berikan.

Berkaki ayam mereka ke sekolah,
Yuran diminta menambahkan gundah,
Bila kesempitan makin bertambah,
Berhentilah anak meskipun tak sudah.

Kini dara telahpun sunti,
Datang pedagang menabur bakti,
Melamar ibu hajat di hati,
Namun anak diberi ganti.

Walau dara berhati walang,
Perintah ibu tidak ditentang,
Sungguhpun usia jauh berselang,
Kerana budi badan digalang.

Bila hidup berumah tangga,
Hati si isteri sentiasa dijaga,
Wang diber harta berganda,
Nikmat dirasa seisi keluarga.

Seorang putera lahirlah sudah,
Bersyukur mereka ke hadrat Allah,
Kasih sayang semakin bertambah,
Hidup dirasa serba indah.

Rupanya bahagia sekejap cuma,
Pedagang terpaksa belayar semula,
Tinggalkan isteri anak segala,
Janjikan pulang suatu ketika.

Hari berganti minggu dan bulan,
Suami tercinta pulang ke pangkuan,
Terlalu penuh sarat muatan,
Gembira rasa tidak tertahan.

Alangkah hairan rasa di hati,
Isteri tersayang dilarang dekati,
Disuruh cerai diminta pergi,
Kononnya lama tidak kembali.

Tinggallah si dia memendam rasa,
Akibat perbuatan pihak keluarga,
Dipinang pula seorang jejaka,
Sama muda sama sebaya.

Namun hidupnya tak pernah senang,
Terbukti derita sering bertandang,
Dipukul disiksa pagi dan petang,
Perangainya tak ubah seperti binatang.

Saban hari dia menangis,
Kaki judi sangatlah pembengis,
Tidak pernah bermuka manis,
Barang kemas semuanya habis.

Tujuh anak tidak dihirau,
Anak tiri dimaki dihalau,
Habis gaji kerana pakau,
Dikeji masyarakat jua dipulau.

Sangat genting akhirnya sampai,
Isteri setia dibenci dicerai,
Airmata jatuh berderai,
Harapan dibina hancur berkecai.

Sepurnama berlalu suami kembali,
Merujuk si dia sekali lagi,
Tidak tahan hidup sendiri,
Mohon kasihan dari si isteri.

Namun perangai tidak berubah,
Walau punah mulut bersumpah,
Ditimpa penyakit mautlah sudah,
Tinggalkan keluarga menanggung padah.

Terpaksalah dia membanting tulang,
Tanpa peninggalan walau sekupang,
Peristiwa dahulu pantang berulang,
Janjikan kebahagiaan kelapan orang.

Nukilan : ARWAH SITI ROKIAH & FAUZIAH AHMAD
BERTARIKH 20.8.1983




Monday, July 6, 2015

AL FATIHAH BUAT ABANG SULUNGKU



Usai bersahur..aku bersiap untuk ke tempat kerja. Terkejut menerima sms yang abang Li telah tiada. Walaupun masih keletihan dek tengah malam semalam aku dan suami baru tiba dari Kota Tinggi, Johor, namun....berita ini membuatkan kami semangat untuk pulang memberi penghormatan terakhir buat arwah.

Kali terakhir aku bertemunya hanya raya tahun 2014. Nampak memang dia uzur waktu itu, namun kesibukan aku membatas segalanya. Maafkan adik Jah.

Sampai di Tikam Batu, arwah sedang dimandikan. Ku salam kakak-kakakku yang telah awal berada di sana. Ku jengah melihat wajah abangku. Bersihnya wajah arwah.

Setelah semuanya selesai, kami bergerak balik. Jam sudah 2 petang. Kak Non ada ajak aku untuk singgah di rumahnya tetapi kerana ada mesyuarat penting pada malam ni, aku terpaksa menolak. Memandulah lagi suamiku. Sampai Hentian Taiping, kami singgah untuk tidur sekejap sebelum menyambung semula perjalanan pulang.

Nostalgia tentang arwah menjengah mindaku tatkala empat roda berputar lagi ke utara Semenanjung. Ku pandang wajah suamiku. Walaupun dalam keletihan, namun kerana kasih sayangnya, dia sanggup memandu lagi.

Abang Li...seorang yang amat bijak berbahasa Inggeris
Abang Li...seorang abang yang diduga dengan tanggungjawab menjaga 7 adik
Abang Li...insan yang menyikat rambutku sehingga aku Tingkatan 3
Abang Li...seorang abang yang sentiasa bercakap lemah lembut
Abang Li...insan yang tidak pernah menderhaka kepada emak dan ayah
Abang Li...insan yang menyuapku dengan penuh kasih sayang

Abang Li....bersemadilah dengan aman di sana bersama emak, ayah, adik Lin dan Akmal. Aku sayang SEMUA......






Tuesday, June 23, 2015

WARKAH MISTERI MALAM RAYA

🍂🍃🍂🍃🍂🍃🍂🍃🍂🍃🍂

Warkah Misteri Malam Raya
karya: Muhammad Rusydi ( Rusydee Artz )

***

Malam raya.

Ibu mengetuk pintu bilikku.

Menghulurkanku sepucuk surat.

“Apa ni, mak?”

“Ada orang bagi tadi. Untuk kamu.”

Ibu berlalu pergi ke ruang tamu, menyambung kerja menghias rumah dengan adik dan kakak.

Jam sudah menunjukkan hampir pukul 1 pagi. Dengan cermat, aku membuka sampul berisi surat.

Ku teliti tulisannya. Kemas. Tulisan siapakah ini? Tidak ku kenali.

Bersila di atas katil. Ku amati bait-bait tulisan di helaian surat. Ringkas saja isinya.

“Assalamualaikum.

Maaf mengganggu.

Sebenarnya sudah lama saya memerhatikan awak. Awak boleh panggil saya stalker kalau awak nak. Sebelum puasa lagi, saya nak sangat jumpa dengan awak. Awak tahu tak betapa saya berkenan dengan awak?”

Hatiku mulai berdebar-debar. Rupanya aku ada peminat dalam diam. Mesti awek ni. Kembang kuncup sekejap hidungku. Tersipu-sipu. Tak sabar-sabar lagi, terus aku membaca perenggan yang seterusnya.

“Sejak tahun-tahun dulu lagi sebenarnya saya dah lama follow awak. Awak saja tak sedar kewujudan saya. Saya intai di facebook awak, status awak, awak kata awak suka ke masjid dekat rumah awak ni bila nak solat terawikh.

Saya buat keputusan untuk ke masjid yang awak sebutkan. Namun, hampa. Saya tak nampak kelibat awak di situ. Saya tunggu dan tunggu, awak tak datang-datang juga. Selama dekat 9 malam saya tunggu awak.

Kecewa sendiri.

Saya decide untuk meninjau-ninjau masjid dan surau yang berdekatan dengan rumah awak, tapi hampa juga. Awak juga tiada di mana-mana.

Lalu, saya tekad cuba ke rumah awak. Saya dapati awak ada saja di rumah. Tak ke mana-mana. Saya nampak awak sibuk dengan laptop dan henfon awak. Fikir saya, mungkin awak ada seseorang yang sangat istimewa. Bila habis saja orang bersolat terawih, awak keluar lepak dengan kawan-kawan makan-makan. Begitulah rutin awak setiap hari.

Saya cemburu. Padahal awak tak tahu, andai awak kenal saya, awak akan tahu saya lebih istimewa dari orang yang awak suka tu. Awak tak tahu, perasaan saya pada awak jauh lebih dalam berbanding sesiapa pun yang awak kenal. Lebih anggun dan menawan dari gadis-gadis yang awak kenali.”

Aku berkerut kening. Dalam hati, dia ni menakutkanlah. Syok sendiri ke minah ni? Aku menyambung baca.

“Saya sedih. Sangat sedih.

Saya tetap menanti awak di pintu masjid yang awak katakan. Setia menanti. Cuma nak melihat awak. Di malam ke-18, awak muncul akhirnya. Awak tahu tak, betapa saya happy sangat dapat tengok awak? Walaupun awak tak perasan saya, saya tak kisah.

Tapi, gembira saya tak lama.

Awak hilang lagi. Tak datang lagi ke masjid. Saya pergi ke masjid itu tiap kali masuk waktu solat. Dengan harapan awak ada sama berjemaah. Tapi, hampa bertubi-tubi. Bayang awak pun saya tak nampak.

Di siang hari, ada saya ke rumah awak. Saya dapati awak selepas Subuh, tidur sampai Zohor. Selepas Zohor, tidur sampai Asar. Andai tak tidur, sibuk dengan fon. Malam kadang-kadang awak tidur, banyaknya berjaga. Tak habis-habis dengan internet dan gajet. Kadang-kadang saya terfikir, awak tak bosankah menghadap benda-benda tu? Apa penting sangatkah mereka?

Saya tunggu seperti biasa di masjid. Tiap malam tanpa jemu. Hinggalah malam terakhir terawih. Awak tak hadir juga.

Saya kecewa. Saya sedih. Malam itu saya menangis cukup-cukup. Biarlah tumpah seribu air mata sekalipun. Pedihnya hati ini. Betapa awak tak peduli. Tak pedulikan saya. Tak pedulikan kehadiran saya. Tak pedulikan kesetiaan saya selama ini.
Tak peduli yang saya sayang awak. Sayang awak sangat-sangat. Tak peduli yang saya ambil berat tentang awak sangat-sangat.

Jauh di sudut hati saya sebenarnya, saya nak tengok awak jadi pemuda yang soleh. Sebab itulah tanpa jemu, saya tunggu awak di masjid tiap masa dan ketika. Tinggalkan dosa, tinggalkan benda-benda lagha. Namun, hajat tak kesampaian.

Cukuplah sampai sini.

Saya ambil keputusan untuk pergi. Tak mahu ganggu awak lagi. Biarlah awak dengan hidup awak. Siapa saya di mata awak? Sesuatu yang tidak bermakna saja pada awak.

Biar berjauhan.

Awak kenal siapa saya.”

Aku menggigil sedikit membaca baris terakhir. Ku gagahkan diri jua.

“Saya Ramadhan.

Jaga diri, jaga iman.

Selamat tinggal.”

Aku terkedu. Kelu membisu. Air mata mulai menitik ke atas warkah misteri itu.

Ya Allah. Ku tinggalkan surat tadi, berlari keluar untuk bertanyakan mak siapa yang bagi. Mak menggeleng tak tahu. Bila masuk kembali, surat itu telah diterbangkan angin melalui tingkap. Hilang.

Melihat orang lain beraya, aku juga mahu sakan beraya dengan orang tercinta. Tapi, selama ini aku buat semberono ala kadar saja pada Ramadhan Allah.

Air mata mengalir tak tertahan lagi.
Aku pendosa yang lupa Allah Maha Memerhati.
Kesal 150 juta kali.

🍃🍂🍃🍂🍃🍂🍃🍂🍃🍂🍃🍂

Sunday, June 21, 2015

RAMADHAN DATANG LAGI

Alhamdulillah..aku masih diberi ruang olehNya untuk menjalani ibadah di bulan yg mulia ini.

Ku lalui dengan penuh keinsafan demi mengenang dosa2 dan kealpaanku selama ini.

Kenangan menyambut puasa beramai2 tahun lepas tiba2 menerjah memoriku. Betapa aku rindukan keriuhan suara adikku yg tak mungkin aku dengari lagi..saat arwah sampai hampir waktu berbuka menghilangkan rasa penatku memasak...Selalunya tiap kali arwah nak datang mesti dia akan makan di rumahku...tak kira waktu bila sampai...saat itu juga aku akan beria2 masak untuk dia kerana aku suka bila dia dan anak2nya makan...berselera sungguh.

Selain arwah dan familinya..anak2 buahku Mimi dan Kakak (Nurul) turut sama memeriahkn suasana...tak ketinggalan suami, anak2 serta menantuku..aku masih ingat lagi hidangan pada saat itu...ikan siakap tiga rasa, daging hitam, udang masak kicap, ayam goreng, tempe goreng dan sayur sawi...semuanya aku masak sendiri...

Saat menyambut Ramadhan kali ini...aku masih bersyukur anak2 masih bersama ...Ya Allah ...Kau terimalah ibadahku dan kau bukakanlah hatiku untuk terus menerus mencari redhaMu...

Lagu asal: Kun Anta (Humood Alkhudher | حمود الخضر)

Ya Ramadhan
Hadirmu menjengah syahdu
Pada hati yang menunggu
Sebening rindu

Kau sirami taman 
Menyegarkan iman 
Diri yang ketandusan 
Mekar bak bungaan

Kala Ramadhan menjelma 
Bersyukurlah kita
Kerna bulan mulia 
Ada rahmat padanya
Kala ada keampunan
Ada kebebasan
Dari azabNya
Jangan persiakan

Ayuh bersama raikannya

Puasa tarbiah
Didik nafsu dan kawal lidah
Kalam madah zikrullah
Memuji allah

Malamnya ibadah
Dengan jiwa yang mujahadah
Pasrah dan berserah 
Kepada Allah

Ramadhan berlalu
Bila sampai waktu
Mungkinkah aku
Bertemu denganmu

Ramadhan ku rindu
Di ruangan waktu
Mungkinkah aku 
Bertemu denganmu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Keluargaku.....

Mobile Uploads Slideshow: Fauziah’s trip to Kuala Lumpur was created with TripAdvisor TripWow!