Wujud ALLAH wajib ada,
Wujud kita harus sahaja;
Wujud ALLAH dapat dirasa,
Namun ia tak dapat diduga.
Ada ALLAH, tiada mula,
Sejak azali, Dia sedia;
Ada kita diciptakanNya,
Dari tiada kepada ada.
Ada ALLAH, kekal sentiasa,
Tiada yang mengubahNya;
Ada kita binasa akhirnya,
Datang dariNya, pulang kepadaNya.
Ada ALLAH, tiada serupa,
Tak berbentuk dan berupa;
Tak bertempat di mana jua,
Tidak takluk pada masa.
Ada ALLAH, sendiri sahaja,
Tak berhajat pada apa jua;
Cukuplah Dia dengan DiriNya,
Bahkan kita yang perlu padaNya.
Ada ALLAH, Esa sahaja,
Tidak berbilang apa pun jua;
Tidak bersusun dari apa-apa,
Anak tiada bapa pun tiada.
Ada ALLAH, Pemilik Kuasa,
Kita hanya dikuasa jua;
Kuasa ALLAH tiada terkira,
Kuasa kita terbatas jua.
Ada ALLAH, Kehendak MilikNya,
Kehendak kita kehendakNya jua;
Tiada yang dapat mengatasiNya,
Pasrahlah kita kepadaNya.
Ada ALLAH, ilmu milikNya,
Kita jahil tak tahu apa-apa;
Dialah yang Maha Bijaksana,
Semua takdirNya elok belaka.
Ada ALLAH, Hayat MilikNya,
Tidak mati mahupun binasa;
Dialah yang kekal jua,
Lemahlah kita tiada berdaya.
Ada ALLAH, Dengar MilikNya,
Tiada apa yang sunyi dariNya;
Tiap kata didengarNya jua,
Maka berwaspadalah kita.
Ada ALLAH, Lihat MilikNya,
Tiada dapat selindung dariNya;
Zahir batin dilihatNya jua,
Baik buruk pasti dihitungNya.
Ada ALLAH, Kata MilikNya,
Kita makhluk kelulah jua;
Tiada kata seindah KataNya,
Al-Quran itu pengzahirannya.
Kita hamba lemahlah jua,
Tiada berdaya, tiada berupaya;
KepadaNya berpasrahlah kita,
Baru kita hidup bahagia...
No comments:
Post a Comment