Sunday, July 30, 2017

*KESIHATAN SEKSUAL DAN REPRODUKSI ANAK-ANAK: APA PERANAN KITA*

*KENYATAAN MEDIA*

Awal minggu ini, dilaporkan oleh media perdana mengenai kanak-kanak berumur 7 tahun merogol kanak-kanak berumur 6 tahun.Dua hari yang lalu pula,  media arusperdana melaporkan berita penahanan lima lelaki yang terdiri dari bapa, datuk dan tiga sepupu yang dihadapkan ke mahkamah atas 22 pertuduhan merogol kanak-kanak bawah umur berusia 12 tahun. Kes yang melibatkan 3 generasi dalam satu keluarga ini amat mengejutkan di kala sehari sebelumnya, Dewan Rakyat yang bersidang  melaporkan sebanyak 13,272 kes rogol membabitkan kanak-kanak direkodkan antara 2010 hingga Mei lalu, termasuklah yang melibatkan 6,014 kes cabul, 1,796 kes sumbang mahram dan 1,152 kes seks luar tabii.

Berita di atas amat di kesali.   Peningkatan jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak harus di pandang serius.  Wanita Ikram Wilayah Persekutuan (WIWP) , Kumpulan Mothers Against Pornography (MAP) dan Ikram Bandar Tun Razak (IBTR) berpendapat  bahawa kes-kes di nyatakan  adalah di sebabkan tiga perkara utama :

1. Kurangnya didikan dan maklumat mengenai kesihatan reproduksi dan seksual
2. Hilangnya  kesedaran tentang peranan ayah/datuk sebagai pelindung keluarga.
3. Berleluasanya bahan pornografi yang boleh di perolehi dan dalam capaian anak-anak sekarang.

Kami mengambil inisiatif menganjurkan program-program kesedaran bagi mendidik dan memperkasakan ibubapa secara khususnya dan  masyarakat umum dengan ilmu kesihatan seksual dan reproduksi anak-anak. Ini bertujuan agar ibubapa dapat memainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak  dlm hal-hal kesihatan reproduksi.  Kajiselidik yang telah dilakukan oleh sebuah syarikat di  Malaysia,  mendapati kanak-kanak dan remaja di negara ini mempunyai pengetahuan yang begitu cetek berkaitan kesihatan seksual dan reproduksi mereka.

Bertitik tolak dari sini, kami menyarankan agar semua pihak memainkan peranan menjayakan kesedaran terhadap isu kesihatan seksual dan reproduksi ini, termasuklah:

1.    Golongan Ibubapa yang bertanggungjawab menyediakan pendidikan awal kepada anak-anak bermula dari rumah. Interaksi dan komunikasi berkesan antara ibubapa dan anak-anak memainkan peranan penting di mana ibubapa perlu memperuntukkan masa secukupnya untuk menjadi teman bual bicara dan sumber maklumat utama anak-anak, agar mereka tidak menjadikan rakan-rakan mahupun internet sebagai sumber rujukan. Persepsi ibubapa yang mengandaikan anak-anak mereka tiada masaalah dan tidak mungkin terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat, perlu dibuang jauh jauh.

2.    Golongan guru sebagai _'ibu bapa kedua'_ kepada anak-anak semasa di sekolah. Guru-guru perlu lebih prihatin dan bersedia mengambil tanggungjawab untuk membimbing pelajar-pelajar mereka di waktu pelajar-pelajar ini berada di luar lingkungan rumah, agar tidak terjebak dgn gejala yg tidak sihat. Anak-anak yang dalam proses mencapai usia akil baligh akan mengalami perubahan emosi dan fisiologi yang akan mempengaruhi aspek seksual dan reproduksi mereka.  Naluri ingin tahu dan daya imaginasi mereka berkembang di mana mereka akan  mencari-cari individu atau kelompok yang boleh dipercayai sebagai tempat untuk berinteraksi dan berkongsi. Guru seharusnya menjadi agen terpenting untuk berperanan sebagai sumber rujukan semasa di sekolah.

3.    Badan-badan bukan kerajaan juga boleh turut berperanan dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran dan siri-siri program untuk masyarakat setempat dan sekolah-sekolah. Mereka juga boleh berperanan menubuhkan advokasi dan menjadi kumpulan pendesak bagi memastikan kerajaan mengambil langkah-langkah serius dan wajar bagi menyegerakan pelaksanaan undang-undang yang memelihara kepentingan golongan kanak-kanak dan remaja termasuklah undang-undang berkaitan penyebaran bahan pornografi.

4.    Kerajaan boleh berperanan dengan lebih serius bagi menambahbaik modul-modul pendidikan yang menyentuh aspek kesihatan seksual dan reproduksi anak-anak agar ianya lebih efektif dalam membentuk kefahaman dan membina jati diri pelajar.

5.    Masyarakat umum secara keseluruhannya perlu dididik agar mempunyai minda yang terbuka terhadap pendidikan seksual dan reproduksi . Pantang larang yang diterapkan dalam minda masyarakat sejak sekian lama untuk tidak membicarakan hal-hal berkaitan pendidikan seksual dengan anak-anak secara terbuka dan interaktif haruslah dibuang. Maklumat yang diperolehi oleh anak-anak hasil dari perbincangan terbuka sebegitu seharusnya bukan membuatkan mereka terjebak dengan aktiviti tidak sihat tetapi sebaliknya menjadikan mereka mampu membuat pertimbangan yang lebih wajar dan bermakna untuk kehidupan dan masa depan mereka.

Jika setiap dari kita, atas rasa tanggungjawab yang tinggi dapat memainkan peranan masing-masing dengan jayanya, statistik jenayah menakutkan terhadap kanak-kanak dan remaja sebagaimana yang dilaporkan di Dewan Rakyat sudah pasti dapat diminimakan dengan berkesan. Pendidikan kesihatan seksual dan reproduksi yang efektif dan dilakukan tepat pada masanya  akan dapat menyediakan akal dan jiwa anak-anak untuk mengambil tindakan dan membuat keputusan  penting agar tidak tersilap langkah yg akan merugikan hidup mereka dan generasi masa depan keseluruhannya.

Wanita ikram Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Mothers Against Pornography

Ikram Bandar Tun Razak

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Keluargaku.....

Mobile Uploads Slideshow: Fauziah’s trip to Kuala Lumpur was created with TripAdvisor TripWow!