Showing posts with label ANAK ISTIMEWA. Show all posts
Showing posts with label ANAK ISTIMEWA. Show all posts

Monday, March 27, 2017

FIKRI KEBIRUAN....








Balik je dari ofis, aku terkejut tengok mulut dan baju Fikri kebiruan. Apa dah jadi ni?

Aku terus periksa suhu badan dia dan belek-belek tangan dia...

Hmmmmmm......Fikri-fikri...rupa-rupanya dia curi-curi makan kek angry bird dalam fridge....he he



Friday, April 17, 2015

FIKRI vs TV SAMSUNG FLAT SCREEN

Aku sampai rumah dalam kepenatan walaupun Angah yg drive...terus dapatkan Fikri yg terbaring setia menungguku. Apalagi rutin harian..dia kusuruh ke bilik air.

Sambil itu aku keluarkan bahan2 mentah dari fridge untuk masak hidangan malam.

Akibat terlampau letih..tak sedar aku tertidur di sofa. Tiba-tiba terdengar jeritan Along,
"Tv pecah!!!!"

Aku bingkas bangun. Yang aku bayangkan sedikit sahaja ..Rupa2nya remuk tv 52" yg dibeli tak sampai 2 tahun usianya...

Terkedu Aku,Along dan Angah...Ini tak ada lain pastinya kerja Fikri..Angah pun keluarkan Fikri dari bilik air setelah dimandikan.

Apalah yg dia faham bila soalan dari Angah bertubi2...Aku?... Hanya mampu diam seribu bahasa..

Setelah puas dengar lecture Angah ...tangan Fikri kami periksa...Kesian...merah2 dan luka tangannya..Mungkin terkena pecahan tv berkenaan..Along sapukan ubat...

Aku panjatkn rasa kesyukuran kerana Allah lindungi Fikri dari kecederaan yg serius...Apalah sangat harga sebuah tv berbanding anakku Fikri...

Kami buat andaian sendiri yg projek Fikri ini dilakukan pada malam hari tatkala semua tidur...

Itulah Fikri namanya...dah lama dia tdk rosakkan barang...tapi aku kena muhasabah diri...

Aku teruskan memasak ... siap aje terus kusuapkan Fikri...hmmm...kalau kari...memang tak tolak punya...

Bila Ayahanda sampai rumah... Dia dan Syauki...menantuku bawa turun tv lama dari bilikku...mengadaplah kami tv tu...jadilah daripada tak ada langsung...

Fikri...hmmm...tengok jugalah tv kecil tu...

Sunday, June 17, 2012

FIKRI OH FIKRI

Hari ini aku tinggal berdua bersama Fikri...Dia tak habis-habis mengamuk tadi...ini mungkin rentetan dari malam Sabtu lagi...tiba-tiba saja dia menendang dinding dan mengoyak bajunya....terkejut aku dibuatnya...dah hampir 3 tahun dia tidak mengoyak apa2 semasa berada di rumah...kalau di sekolah tu dah hampir 4 bulan dah perangai mengoyak baju seluar ni....tak tahu nak buat apa...

Syukur Along masih ada kat rumah.... tangan dan kakinya kami pegang tapi dia terus mengamuk....karpet tebal pun dia nak koyak...terlepas aje terus meluru ke sofa...kuatnya dia Allah saja yang tahu....tiga empat kali aku terlentang semasa cuma menghalangnya...tapi aku dan along tak boleh mengalah....baju dan seluarnya digigit dan dirabaknya dengan mudah....Air yaasin dah bergelas2 ditelannya....aku pun ambil keputusan mengangkat dan mengheret Fikri ke bilik air...aku jirus dia dengan air...dalam bilik air pun dia terus mengamuk dan tuala juga ingin dikoyaknya....aku kena kuat...setelah agak tenang...kupakaikan dia baju dan seluar semula....bila dibawa ke tempat tidurnya...sekali lagi dia mengamuk dan mengoyak baju dan seluarnya...jenuh juga kami berdua memegangnya...peluh terus membasahi tubuhku...baju dan seluar tak dapat diselamatkan namun terus dia nak koyak tilam dan selimut...sekali lagi aku terlentang....air yaasin dan air daripada ustaz terus aku beri dia minum....aku peluk dia erat2 sambil menangis..sesungguhnya aku kena kuat...aku taknak along tengok aku menangis....aku tahan kesakitan ini....

Sejam lamanya aku bergelut dengan Fikri...seakan sudah hilang tenagaku....bermacam2 ayat aku bacakan untuknya....akhirnya along dapat idea untuk menayangkan cerita Finding Nemo...jadi duduklah Fikri depan laptop tanpa seurat benangpun ditubuhnya di mana semua barangan yang memungkinkan untuk dia mengoyaknya terpaksa kami sorok di stor atau di tingkat atas....aku pun terpaksa berada di depan laptop juga untuk mengawasi dia....sambil itu aku berikan dia ubat selsema....alhamdulillah 2 jam selepas itu dia mula rasa mengantuk dan terus tidur....sejak malam itu aku baring di sebelahnya...setiap pergerakannya ku awasi....

Petang ini ...dia kuberikan makanan kegemarannya walau dalam muka yang marah dia ambil dan makan juga.... aku tak dibenarkan langsung menyentuhnya.........aku dan dia sama2 di depan laptop.....jika dia mengamuk lagi petang ini...hanya aku seorang saja yang tinggal...... Tuhan..berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi semua ini........


Friday, May 25, 2012

PUISI BUAT ANAKKU ...AHMAD FIKRI


::Mother of A Special Child::


While playing with my baby doll, 

I thought that jobs not hard at all

I'd have a baby, maybe two, 
a girl in pink...a boy in blue

Well I grew up and sure enough,
The baby that was sent to me, was born with disabilities

At first I'm frightened through and through, 
there's much to learn to care for you

This wasn't in my plans at all, 
when I was young and played with dolls

Your mind and body were so weak, 
you might not ever walk or speak

So much special care required, 
I'm often scared and often tired

As months and years go slowly by, 
I smile a lot but sometimes cry

To watch you grow and not complain, 
though you endure your share of pain

Oh, how I'd hold you and I'd pray, 
that you'd be healed and whole someday

But I knew that was not to be, 
not physically or mentally

And so I taught you best I could, 
your progress wasn't very good

But then one day I realized, 
as I gazed into your loving eyes

That I had learned so much from you, 
determination...courage too

A love so unconditional, it floods my soul and always will

I'm proud to say I gave you birth, for you're an angel here on earth





Monday, December 19, 2011

JIKAKU DAPAT MENDENGAR....


Selesai masalah mata...kami harus beri fokus pada masalah pendengaran Fikri pulak. Berulang-alik ke Hospital setiap bulan dah jadi rutin kami. Kata doktor..masaalah pendengaran Fikri boleh diatasi. Aku dan ayahanda disarankan menempah "hearing aids" untuk kedua2 belah telinga Fikri. Kami laksanakan...tapi Fikri tak nak pakai.

Suatu hari dia campakkan "hearing aids" yg berharga ribuan ringgit tu ke bawah dari tingkat tiga. Apalagi bergegaslah aku ke bawah mencarinya dalam rumput yang tebal. Alhamdulillah jumpa juga akhirnya. Aku cuba lagi pakaikan agar Fikri boleh mendengar...Malangnya tanpa aku sedari...tinggal sebelah aje...dah tentu dia campak ke bawah lagi. Aku dukung dia dan turun mencari....namun aku tak dapat kesan pun benda tu. Sejak dari hari tu ..aku simpan saja kerana Fikri mmg enggan pakai dan aku lihat mmg tidak ada apa2 kesan pun pada pendengarannya.

Aku redha bila tahu Fikri tidak boleh mendengar suaraku malah mungkin suaranya sendiri. Tak perlu aku menangis meratapi nasib ini. Namun hubungan darah antara seorang ibu dan anak dapat membuatkan aku memahami isyarat2 yang ditunjukkan oleh Fikri. Hanya aku yang tahu apa yang diperlukannya. Aku cipta beberapa bahasa isyarat sendiri untuk berhubung dengan Fikri. Aku tahu dia memang seorang kanak-kanak yang cerdik.

Wednesday, December 14, 2011

DARI SINAR MATANYA.....


Selain jantung berlubang, Fikri juga mengalami masaalah mata, dan telinga. Semasa berusia 3 bulan, Fikri telah menjalani pembedahan membuang katarak pada kedua2 belah matanya...

Pembedahan itu memakan masa sampai 2 minggu...jadi dalam tempoh itulah aku berumah di wad kanak2 Hospital Pediatrik KL. ...Jaga Fikri di wad sorang2 memang mencabar sebab dia hyperaktif...Doktor terpaksa bungkus tangannya  selepas dicucuk jarum drip sebab pasti ditariknya buang.....Last2 doktor masukkan drip melalui kakinya pula...kesiannya aku pada Fikri..dahlah tangan disuntik...kaki pun kena juga...Aku kena sentiasa awasi dia...terlelap aje...mulalah ditariknya drip...nanti kena suntik lagi...

Ayahanda akan datang pada waktu melawat tiap2 hari. Waktu itulah aku ambil peluang untuk berehat sekejap.

Semasa pembedahan aku tidak dibenarkan masuk....Pembedahan mata Fikri dibuat satu persatu...mula2 mata kanan..Keluar aje dari bilik bedah...tgk matanya dah bertutup sebelah...Doktor pesan jangan dibuang penutup mata itu untuk sementara waktu ...dia masih dalam keadaan tak sedar lagi..tup2 bila sedar aje terus tangannya capai penutup matanya dan terus dicabutnya tanpa sempat aku tahan..apalagi aku terus menjerit panggil nurse...aku terus memeluk Fikri erat2...dia meronta2...mungkin dia terasa sakit kot...nurse datang betulkan penutup mata tapi kedua2 tangan Fikri kena ikat ke belakang macam baju yg dipakai oleh orang kurang siuman ...takut dia tarik benda tu  lagi...sedih aku tgk keadaan dia....keadaan begitu berlarutan sehinggalah pembedahan matanya yang sebelah lagi...

Selain katarak...doktor terpaksa juga membuang lense pada matanya...jadi pemandangan Fikri akan kabur jugak...doktor sarankan agar Fikri diberi makan lobak merah yg diblend selalu... Jadi kami mmg ikut arahan doktor demi kebaikan Fikri..

Keluar wad...aku dan ayahanda ke kedai Kompleks Pertama  untuk  menempah cermin mata Fikri seperti yang dicadangkan doktor...Cermin mata Fikri terpaksa ditempah khas dari luar negara maklumlah dia tu kecik sangat ...power mata Fikri pun banyak iaitu 2200 untuk mata kanan dan 2600 untuk mata kiri...

Bila dia mula pakai cermin mata tu...dah lain macam aje....Cermin mata tu pun bertahan sekejap aje....Fikri pintal dan patahkan...kami tempah  lain...sama jugak dibuatnya....Kadang2 dicampaknya ke bawah dari tingkat tiga kuarters yang kami diami...

Pembedahan kedua dilakukan ketika Fikri berusia 6 bulan...dan aku lalui sekali lagi proses yang sama...kali ni aku pun tak faham apa yang doktor cuba katakan...tapi aku tahu mata Fikri masih bermasaalah...


Saturday, December 10, 2011

NAMUNKU PUNYA HATI


Membesarkan fikri adalah satu cabaran getir yang aku dan ayahanda tanggung bersama. Semasa bayi, kena berhati2 memandikannya kerana kulit kepalanya akan tertanggal sekali kalau dilurut secara kasar. Sedih melihat keadaannya...Lepas habis pantang, fikri aku letakkan di rumah pengasuh iaitu mak longku . kerana itulah saudara terdekat yg aku ada di kl pada waktu itu.


Aku dapat tawaran menyambung pengajianku di Ipoh dan berulang alik setiap minggu untuk bersama fikri. Minggu pertama aku balik...Keadaan fikri kulihat semakin lemah. Nafasnya tercungap2..Kata mak long fikri tak nak menyusu...Aku dan ayahde cuba tukar susu lain...dah berapa jenis susu  dah sebelum ni pun..belum ada yg sesuai...Fikri perlu menyusu 1 jam 1 oz...Mulut dan perutnya terlalu kecil....Aku ingat nak berhenti belajar aje...tapi ayahande suruh aku teruskan juga

Sebulan aje fikri tinggal bersama mak long aku di cheras...mak cik sebelah ayahanda yg tinggal di kepong tawar diri untuk menjaganya...Alhamdulillah fikri nampaknya serasi tinggal ngan mak cik. 2 bulan juga fikri di bawah jagaan mak cik yg setiap hujung minggu mesti aku ambil untuk menjaganya bersama. Keadaannya masih sama seperti bayi yang baru lahir seminggu aje..Walau dah berusia 4 bulan, kepalanya masih belum boleh ditegakkan..

Akhirnya fikri kami letakkan di rumah jiran  memandangkan mudah untuk ayahanda melihat fikri setiap hari. Hari2 sebelum ke pejabat, ayahanda akan siapkan segala keperluannya dan mengambil dia semula selepas waktu pejabat. Hanya angah saja ada di rumah bersama ayahanda. Along kami hantar ke rumah maktoknya di penang. Fikri memang sentiasa on dan off demamnya...tiap bulan kami perlu sediakan wang secukupnya untuk rawatan dia di klinik.

Aku telah beberapa kali mendapat teguran daripada pihak pengajianku kerana asyik ponteng kuliah menjaga  Fikri di wad sebab fikri banyak masalah. aku menangis mengenangkannya kerana  tiada siapa yang mahu faham. Ayahanda tak mampu menjaga fikri di wad. Fikri perlukan aku, bondanya.Keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila aku dihalang untuk menduduki peperiksaan akhir pengajianku kerana jumlah jam kuliah tidak mencukupi....Namun masih ada insan yang mahu menolongku...Seorang pensyarah telah sanggup mengambil risiko membantuku kerana dia sayangkan aku dan tahu latarbelakangku...Aku amat bersyukur sekali ...Akhirnya dapat jua aku tamatkan pengajianku dengan cemerlang...

Apa2pun fikri perlu aku utamakan...dia tak mengerti  apa2...kasih sayang dan belaian perlu sentiasa diberikan oleh kami berdua...bersama... agar fikri dapat membesar dengan baik

Thursday, October 20, 2011

FIKRI TAK LALU MAKAN


Hari ini hati dan perasaan aku semakin risau kerana sudah hampir seminggu Fikri tidak mahu makan nasi. Aku tak tahu kenapa? Macam-macam benda dah aku cuba masak tapi selera makannya seolah-olah tertutup. Badannya pun dah semakin susut. Kesian aku tengok dia. Makanan yang selalu menjadi kesukaannya pun tidak sedikit dijamah. Aku bawa dia ke KFC, harap2 dia makan. Alhamdulillah makan juga dia nugget dan bun. Tapi tak dihabiskan macam selalu. Pelik...Mungkin dia rindukan Fawwaz yang sudah 2 bulan lebih tak balik. Pening aku memikirkan bagaimana nak bagi dia lalu makan semula.

Resepi Warisan Bonda: NASI GORENG FIKRI

 Satu jenis masakan yang paling disukai oleh Fikri....

Resepi Warisan Bonda: NASI GORENG FIKRI: 1 mangkuk sederhana nasi putih 2 ulas bawang merah 2 biji cili kering 2 batang kacang panjang (dipotong dadu) 1 sudu teh garam halus ...

Wednesday, October 19, 2011

SAAT KELAHIRAN FIKRI



Sampai masa aku untuk melahirkan Fikri. Macam biasalah ke hospital bersalin KL. Jam menunjukkan pukul 8 malam. Ayahanda nak dengar berita dulu. Aku sabar menunggu walaupun sakitnya kadang2 rasa kadang2 tidak. Kami sampai di hospital dan aku terus diperiksa. Baru lapan bulan lebih usia kandunganku. Aku dibawa masuk ke wad. Alangkah terkejutnya aku apabila Dr tanya aku bila air ketuban pecah. Aku sendiripun tak tahu. Kata Dr air ketuban dah kering. Keadaan jantung bayi pun semakin lemah. Dr cadangkan aku diinduce saja. Setelah dua botol air dimasukkan, aku masih tak ada gesa untuk bersalin. Dr cadangkan aku dimasukkan ke bilik bedah kerana takut bayi lemas.

Saturday, October 8, 2011

MENGANDUNGKAN FIKRI

Semasa mengandungkan Fikri, aku tidak pernah scan untuk tahu jantinanya.Aku pasrah. Ayahanda memang mengharapkan sangat agar anak lelaki kerana katanya nak buat teman pergi Solat Jumaat. Sepanjang 9 bulan aku mabuk teruk. Makan kadang-kadang tu hanya sebungkus nasi lemak dan segelas air untuk satu hari. Memang badanku cukup lemah. Makan kalau lebih sikit, muntah. Pernah suatu masa tu, aku teringin sangat nak minum air tebu. Ayahanda pun bawa aku ke pasar malam. Akupun gembira dapat beli dan minum dengan lahapnya. Tak sempat berjalan dua tiga langkah ,air tebu yang diminum tadi tersembur keluar macam air paip. Nasib baiklah tak kena orang lain.Serik dah lepas tu tak nak minum air tebu lagi.
Kerja-kerja rumah pun tak mampu aku laksanakan. Pelik juga kalau pergi sekolah mengajar, aku sihat aje. Balik rumah..mulalah lemah. Sampai sampah depan mata pun aku tengok aje. Nak pegang penyapu jauh sekali. Terbaring dan kadang2 melayan kerenah along dan angah. Aku pun sering tertanya2, bila agaknya aku nak sihat ni???????

Saturday, September 17, 2011

SAKIT JANTUNG

Setelah setahun yang dijanjikan bersama Dr jantung di IJN iaitu pada 4 Januari 1997, aku dan ayahanda membawa Fikr ke sana. Dr berbangsa Cina memegang dan memeriksa Fikri. Direnungnya wajahku dan ayahanda. Satu soalan muncul daripada bibir Dr , "What have you done to him?".

Apa Dr ni, apa sebenarnya yang kami telah buat? Salahkah kami? Terukkah keadaan Fikri? Ya Allah.  selamatkanlah anakku...

Agaknya Dr telah dapat membaca kerisauan di hatiku..Beliau lalu tersenyum dan mengesahkan bahawa lubang sebesar syiling 5 sen di jantung Fikri telah tertutup. Subhanallah...Dr sebenarnya berasa pelik bagaimana lubang tersebut boleh tertutup sedangkan hari ini pembedahan bakal dilakukan.

Aku hanya dapat menceritakan tentang rawatan secara tradisional yang kami pergi ke merata tempat tetapi semuanya kuasa ALLAH swt jua. Alhamdulillah.....Dr kata , "It's a miracle."

Kami dengan senang hati dan rasa penuh kesyukuran membawa Fikri pulang ke rumah

Friday, February 11, 2011

IKHLAS


Kata Dr Tuah, "orang yang ikhlas adalah orang yang menyembunyikan kebaikannya sebagaimana dia menyembunyikan kejahatannya."
Tanya diri kita, adakah selama ni kita ikhlas? Atau ikhlas yang dibuat-buat atau ditunjuk-tunjuk? Tanya diri kita hingga bertemu jawapannya.

Petang ini aku rasa amat terkilan dengan sikap pemilik pusat jagaan anak istimewa. Begitu sombong dan bongkak. Keikhlasan menjaga anak-anak OKU seakan sudah tidak wujud di situ. Apa yang penting duit dan keangkuhan wanita Iran ini. Kebajikan warga OKU di situ seolah-olah tidak menjadi priority baginya. Tuhan itu Maha Kuasa. Suatu hari akan terbukalah belangnya. Menganiaya insan istimewa. Mengaut keuntungan ke atas mereka yang tidak berdaya.
Menipu di dalam jaga. Tiada keikhlasan lagi......

Kekadang, kita cenderung berkata ikhlas, tapi di dalam hati bagai terpaksa. Kita semua pernah melalui hal ini.
Orang cemerlang, kalau berbuat baik, lebih suka melakukannya diam-diam. Bukan dia tak nak melakukannya di tempat terbuka, tapi cara berahsia adalah cara disukainya untuk mendapat lebih keberkatan.
Paling penting, cara sebegitu juga membuat dirinya sentiasa tenang!

Dari sini jelas bahawa sifat ikhlas ini amat penting disemai dan dibajai di setiap hati Muslim dalam semua lapangan hidup agar dia dapat menempatkan dirinya di kalangan hamba Allah yang bertakwa. Perlu disedari bahawa sifat ikhlas ini tidak hanya perlu diserlahkan ketika pelaksanaan amalan ibadat seperti solat, puasa, sedekah, haji dan sebagainya, malahan niat yang ikhlas akan meningkatkan mutu amalan yang dianggap keduniaan semata-mata dan menjadikannya sebagai satu ibadat yang diberi ganjaran pahala kerananya.

Sebaliknya, niat yang tidak baik seperti riak atau 'ujub (mengharap pujian ramai) akan menjatuhkan nilai satu-satu amalan walaupun ia berupa amalan ibadat sekalipun dan ia akan mengubahkan menjadi amal maksiat yang pastinya disediakan balasan seksa yang pedih di akhirat kelak.

Wednesday, February 9, 2011

ANAK ISTIMEWA 2
























Bila saja Fikri dilahirkan , aku redha dengan ketentuan Allah swt. Allah sayang padaku kerana telah memilih kami untuk menjaga insan istimewa ini. Apabila kali pertama melihat dia, hatiku sayu. Pada usia 3 bulan, Fikri menjalani pembedahan kedua-dua matanya yang ada katarak. Menangis dan marah Dr yang merawatnya apabila jururawat tidak dapat mencari jarum yang sesuai untuk menyuntik Fikri. Jarum tersebut terpaksa diperolehi daripada hospital lain kerana keadaan Fikri yang terlalu kecil. 6 bulan selepas itu, sekali lagi pembedahan membuang katarak pada matanya dibuat.Dua minggu aku bersama Fikri di wad.

Pelbagai usaha kami lakukan untuknya agar dia dapat berjalan seperti kanak-kanak yang lain. Kepalanya mula boleh ditegakkan ketika usianya lima bulan. Bila aku mengajar di sebelah petang, pagi-pagi aku akan bawa Fikri turun untuk disapu air embun pada lututnya. Dua tahun baru dia boleh merangkak dan mula berjalan ketika usia mencecah tiga tahun.

Pada waktu kelahirannya dan menghadapi saat-saat kritikal itulah tahun yang sama aku melanjutkan pelajaranku. Tiap-tiap minggu aku berulang -alik dari Ipoh ke KL. Kawan-kawanku ada yang merasa tidak senang dengan sikapku yang tidak mahu buat discusion hujung minggu. Aku berserah kerana bagiku anak-anak adalah amanah. Mereka hanya lihat zahirku sahaja, tetapi batinku sentiasa menjerit.

Dugaan itu aku tempuh dengan rasa syukur kepada Allah swt. Sehingga final , sikap aku masih sama, balik tak pernah tidak. Alhamdulillah,walaupun dalam kepenatan berulang-alik, aku akhirnya dinobatkan pelajar yang cemerlang dan terbaik untuk kumpulanku.

Saturday, January 29, 2011

ANAK ISTIMEWA 1

Pagi ni aku nak berkongsi mengenai jerih payah membesarkan anak istimewa...Fikri.
Fikri dilahirkan pada 9 November 1992 secara pembedahan setelah aku dimaklumkan bahawa air ketuban sudah kering dan jantung bayi dalam kandungan semakin lemah. Aku sendiripun tak sedar sejak bila air itu keluar. Setelah segala persiapan dibuat, aku melahirkan Fikri seberat 2.1 kg. Sedih aku lihat Fikri kerana dimasukkan ke dalam inkubator. Tangannya hanya sebesar ibu jariku saja. Kulitnya bersisik. Ya ALLAH , aku redha dengan pemberianmu. Ayahanda memanglah seronok sangat sebab dapat anak lelaki yang memang diidamkannya setelah ada along dan angah. Katanya buat teman untuk solat Jumaat.

8 hari Fikri berada di bawah pengawasan doktor. Aku berulang-alik dari wad utk menyusukan dia. Tapi sebanyak manalah yang boleh aku buat memandangkan dia tak pandai nak menyusu dan terlalu lemah. Berbagai pemeriksaan dibuat. Doktor memberitahu bahawa Fikri mengalami masalah pendengaran, penglihatan, masalah otak dan jantung.Fikri kemudian dibawa ke IJN untuk pemeriksaan lanjut. Doktor mengesahkan pula Fikri ada jantung berlubang sebesar syiling 5 sen. Betapa sayu dan sebak dada kami ketika menerima berita ini. Mungkin ada hikmah di sebalik dugaaan ini. Tempoh setahun diberikan untuk datang semula membuat pembedahan.
duniabondaayahanda.blogspot.com

duniabondaayahanda.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Keluargaku.....

Mobile Uploads Slideshow: Fauziah’s trip to Kuala Lumpur was created with TripAdvisor TripWow!