Wednesday, June 26, 2019

30 TIPS SURVIVAL UNTUK HAJI DAN UMRAH


Saya share perkara ni untuk simpanan dan maklumat bersama yang diambil daripada blog Eliza..cuma saya susun nombor untuk memudahkan pembacaan..
   
"Saya nak berkongsi sedikit tips untuk digunakan oleh para jemaah yang akan berangkat menunaikan haji. Tips keagamaan pastinya dah banyak dikongsikan oleh para Ustaz dan Ustazah. Jadi saya hanya nak kongsikan survival tips yang mungkin jarang dikongsikan, tapi sebenarnya sangat membantu. Tips ini bukan sahaja sesuai untuk jemaah haji, tetapi juga untuk mereka yang mahu pergi mengerjakan umrah nanti. Silakan share kepada ahli keluarga kita dan sesiapa kenalan kita yang akan ke Tanah Suci supaya panduan ni dapat membantu mereka di sana nanti.

1. Bawa bekalan sambal yang tahan lama seperti sambal ikan bilis, sambal hitam atau apa-apa sambal yang kena dengan selera kita. Makanan yang diberikan kat sana walaupun cuba dimasak mengikut cara Malaysia, tapi memang tak sama. Jadi sambal inilah yang dapat membantu membuka selera. Bukan untuk kita je, tapi untuk dikongsi dengan jemaah yang lain.

2.Bawa sos cili. Di Mekah banyak kedai yang menjual ayam goreng sedap-sedap, cuma masalahnya, orang sana tak makan ayam goreng atau burger dengan sos cili macam kita. Orang kita kan mana boleh makan ayam goreng kalau takde sos cili. Jadi bawalah siap-siap dari Malaysia. Masukkan dalam botol plastik. Kalau kat rumah ada banyak stok sos cili paket kecil yang kita dapat masa pergi KFC pun bagus.

3.Jangan terkejut kalau kat sana, bila kita beli barang dan ada baki sen-sen, diaorang tak bagi baki tapi bagi gula-gula getah. Sebabnya orang Arab tak suka pakai duit syiling. Jadi kebanyakan kedai akan pulangkan baki dalam bentuk barang-barang yang lebih kurang sama nilainya, yang paling biasa diberi adalah gula getah.

4.Jangan bawa duit banyak, takut hilang atau dicuri di sana. Jangan ingat kat Mekah ni tiada pencuri. Manusia ni kalau nak buat jahat, dia tak kira Mekah ke tak.

5.Boleh keluarkan duit dari akaun Tabung Haji di kaunter TH di sana. Tak kira kita pergi bawah Tabung Haji atau bawah pakej travel agent, semua boleh keluarkan duit Tabung Haji di sana untuk perbelanjaan kita. Hanya perlu bawa kad nama yang diberikan kepada para jemaah.

6.Ramai yang tak tahu sebenarnya kita boleh keluarkan duit melalui ATM di sana guna kad ATM Malaysia kita. Exchange rate ikut kadar semasa yang kompetitif. Kalau kita perasan, kat belakang kad kita ada lambang Cirrus. Cirrus ni adalah jaringan ATM antarabangsa yang bolehkan kita keluar duit di ATM satu dunia, macam MEPS di Malaysia. Cuma syaratnya adalah kita kena activate dulu kad ATM kita untuk digunakan di Arab Saudi. Call sahaja nombor telefon bank yang ada di belakang kad ATM kita.

7.Tinggalkan segala dokumen penting yang tak perlu seperti IC kepada waris kita. Tak perlulah bawa IC kita ke sana, kat sana tak guna pun. Risau kalau hilang, dah jadi satu masalah untuk kita bila balik Malaysia nanti.

8.Nak beli sim card kat sana sekarang ni kena tunjuk passport. Ini menjadi masalah sebab passport kita akan dipegang oleh pihak Tabung Haji atau travel agent kita di sana. Di hotel penginapan biasanya ada orang akan jual sim card tak perlu passport, tapi pada harga yang berlipat kali ganda sebab diorang tahu kita terdesak. Cara yang terbaik adalah kita beli sim card siap-siap semasa di airport Jeddah. Masa ni kita masih pegang passport sendiri.

9.Untuk jemaah yang pertama kali ke Mekah (tak pernah pergi umrah sebelum ini), seelok-eloknya carilah kawan sebilik atau satu rombongan yang ada pengalaman ke Mekah untuk jadi peneman dan penunjuk arah di sana. Walaupun kita dah hadiri kursus Haji dan buat praktikal di Malaysia, keadaan adalah langsung tak sama di sana. Semasa kursus haji, kita hanya buat praktikal dengan ratusan orang dalam kawasan yang kecil. Tetapi bila di sana, kita akan dikerumuni jutaan orang dan sangat mudah tersesat jika tak biasa. Ini penting terutamanya untuk mereka yang pergi melalui muasassah Tabung Haji kerana mutawif hanya akan membawa kita dari hotel ke Masjidil Haram. Setibanya di Masjidil Haram, pandai-pandai sendirilah untuk mencari tempat mula tawaf dan sebagainya.

10.Bawa pakaian sekadar yang perlu sahaja, tak perlulah bawa terlalu banyak. Kalau tak cukup pakaian jangan risau, boleh basuh atau beli di sana pada harga yang murah. Lagi-lagi bila ditambah dengan hasil “shopping” di sana, memang tak muat beg. Ada jemaah yang terpaksa pos pulang baju yang di bawa dari Malaysia untuk mengosongkan ruang beg.

11.Perkhidmatan pos ada disediakan untuk jemaah yang ingin menghantar barang ke Malaysia. So kalau banyak sangat beli barang souvenir, tak perlu risau kalau beg tak muat. Pihak Poslaju (Pos Malaysia) dan Nationwide ada buka kaunter di banyak hotel penginapan rakyat Malaysia. Tapi kena bayarlah ye, bukannya free.

12.Sim card yang OK adalah Mobily dan Zain. Mobily kadarnya lebih murah tetapi line kurang bagus berbanding Zain. Tapi ketika musim puncak haji, biasanya line telefon dan internet adalah sangat teruk untuk mana-mana sim card disebabkan terlalu ramai orang di sana. Yelah, daripada ratusan ribu orang melonjak jadi jutaan orang, memang jem line.

13.Boleh basuh baju di sana. Banyak hotel terutamanya hotel bawah Tabung Haji ada menyediakan tempat jemur kain di bahagian tingkat atas (bumbung) hotel. Kalau malas ke ampaian, ramai je yang jemur di tangga atau dalam bilik. Bawalah tali untuk buat ampaian. Tak bawa pun takpe, boleh beli di sana je.
Kalau malas basuh baju, ada perkhidmatan dobi disediakan. Yang penting ada duit.

14.Apabila ke masjid, bawalah beg untuk isi selipar kita, sekurang-kurangnya beg plastik. Bawa sekali selipar kita bersama ke dalam masjid. Walaupun ada rak-rak kasut yang disediakan, kemungkinan untuk kita tidak jumpa semula selipar kita adalah sangat tinggi. Sama ada kita lupa kita letak di mana atau pun selipar kita diambil oleh orang lain.

15.Sebelum masuk ke Masjidil Haram, pastikan kita dah buang air siap-siap. Susah apabila sudah masuk ke masjid dan mahu keluar semula untuk buang air. Tandas hanya ada di luar masjid dan untuk keluar semula dari masjid adalah jauh dan perlu berhadapan dengan ramai orang.

16.Bawa sekali spray air apabila ke masjid. Ini untuk mudahkan kita ambil wudhu’ sekiranya terbatal di dalam masjid. Nak keluar susah, sebab tempat wudhu’ pun di luar masjid.

17.Pakai kasut sukan untuk pergi melontar jamrah supaya kita selesa berjalan. Jarak perjalanan pergi balik untuk melontar jamrah adalah 6.5 km. Kalau kita pakai selipar jepun je, memang sakit kaki lah.

18.Biasakan berjogging atau berjalan jauh di Malaysia sebagai persiapan untuk ke sana. Ibadah haji adalah ibadah yang sangat memerlukan kekuatan fizikal. Banyak tenaga perlu digunakan. Paling memenatkan adalah perjalanan untuk pergi melontar jamrah. Kesian bila tengok pakcik makcik yang sudah berumur, ada yang sampai pengsan kerana penat berjalan.

19.Kalau teringin makan makanan Malaysia, tempat biasa yang dituju adalah kedai Felda D’saji. Lokasinya di Level 2, As Safwa Food Court, Safwa Tower. Safwa Tower ni kalau kita keluar daripada pintu King Abdul Aziz, terletak di sebelah kiri Zam Zam/ Clock Tower.

20.Khemah di Mina adalah sangat panas. Walaupun setiap khemah ada air-cond, tetapi banyak yang rosak. Yelah, guna setahun sekali je. Eloklah kalau bawa kipas tangan untuk digunakan bila panas.

21.Untuk melontar jamrah, tak perlulah cari batu yang besar. Mengikut hadith, cukup sekadar saiz biji kacang. Risau pula kalau guna batu yang besar, akan mencederakan orang lain, tak pasal-pasal dapat dosa.

22. Boleh solat Jumaat di masjid berdekatan hotel kita, bukan semestinya ke Masjidil Haram. Terutamanya apabila semakin ramai jemaah haji sudah berkumpul di Tanah Haram. Untuk pergi ke Masjidil Haram pada waktu puncak ini adalah sukar dan membahayakan terutamanya bagi jemaah yang uzur atau berumur. Lebih elok simpan tenaga untuk menyempurnakan ibadah haji.

23.Kalau hendak ke masjid pada hari Jumaat, datanglah seawal yang mungkin, terutamanya kalau kita hendak solat di bahagian Mataf (tempat tawaf). Para jemaah biasanya sudah mula berkumpul seawal jam 9 pagi untuk mendapatkan tempat yang berdekatan dengan Kaabah. Kalau kita datang pukul 11, biasanya pintu utama ke masjid sudah pun ditutup. Kita perlu ke bangunan tambahan atau solat di perkarangan masjid.

24.Bawa wayar extension. Kat bilik hotel biasanya ada satu dua soket je untuk dikongsi 4 hingga 10 orang sebilik. Kat Mina pun banyak gunanya nanti.

25.Untuk buat panggilan ke Malaysia, pihak TM ada sediakan kaunter telefon di setiap hotel jemaah Malaysia. Kena beli kad iTalk harga 50 Riyal. Kalau yang advanced sikit atau nak free, boleh guna app Line untuk buat panggilan. Minta ahli keluarga kita di Malaysia untuk download juga. Cuma bergantung kepada kekuatan internet di sana nanti. Whatsapp tak boleh guna untuk buat call di sana, mungkin sebab line internet terlalu lemah.

26.Kalau teringin nak merasa duduk di hotel mahal yang betul-betul di hadapan masjid seperti Hilton dan Pullman, boleh tempah pada harga yang sangat murah berbanding biasa selepas 13 Zulhijjah apabila jemaah Arab mula balik. Harga ketika waktu puncak boleh mencecah sehingga 5,000 riyal satu malam. Tapi selepas 13 Zulhijjah, harga akan jatuh sehingga serendah 300 riyal kerana hotel telah mula kosong. Pak Arab kat sana pergi haji kejap je, sekadar cukup syarat dan rukun haji. Jemaah dari luar seperti Malaysia je yang tinggal lama sehingga 40 hari.

27.Berhati-hati kalau nak naik teksi di sana. Sebahagian daripada pemandu teksi di sana bersikap kasar dan ada juga yang menipu. Pernah ada kawan saya semasa musim haji tahun lepas diminta bayar 150 riyal untuk perjalanan hanya 1 km walaupun jumlah yang dipersetujui asal semasa naik teksi adalah 10 riyal. Nasib baik kawan saya ni bertindak pantas, sampai sahaja di destinasi, dia terus berlari keluar dari teksi selepas tinggalkan 10 riyal di tempat duduk. Pemandu teksi di sana juga biasanya hanya tahu berbahasa Arab. Kalau ada kawan atau Ustaz yang boleh bercakap Arab, mintalah untuk jadi jurucakap. 

28.Elakkan juga untuk naik teksi berseorangan. Seeloknya naik bertiga supaya lebih selamat.

29.Kalau nak beli makanan dan barang keperluan harian, biasanya orang akan pergi ke pasaraya Bin Dawood yang ada di banyak tempat. Paling dekat dengan masjid ada di shopping mall bawah Clock Tower, nampak bila keluar masjid.

30.Kalau nak beli barang sebagai buah tangan untuk bawa balik ke Malaysia, lebih murah beli di Mekah berbanding Madinah. Kalau nak beli kurma pula, elok beli bila dah dekat nak balik supaya kurma tu tak kering bila balik Malaysia.

Saya doakan selamat berangkat kepada semua jemaah Haji. Semoga Allah selamatkan perjalanan dan permudahkan semua urusan di sana nanti dan yang paling penting, semoga mendapat Umrah yang Maqbul dan Haji yang Mabrur."

Eizaz Hasanan
www.halalmoney.my
    
© COPYRIGHT HALALMONEY.MY MEDIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Keluargaku.....

Mobile Uploads Slideshow: Fauziah’s trip to Kuala Lumpur was created with TripAdvisor TripWow!