Tuesday, June 4, 2013

PANAS BARAN .....

Panas baran @ ‘ kepala angin ‘ @ ‘ naik hantu ‘ yang disebabkan kesukaran menangani perasaan marah menyebabkan seseorang itu hilang malu, sanggup bertindak di luar batasan dan tidak mustahil boleh mencederakan orang lain. Perasaan marah yang tidak terkawal boleh memusnahkan apa saja. Islam sendiri memuji umatnya yang dapat mengawal perasaan marah. Sikap marah adalah antara pintu syaitan datang masuk ke hati manusia.

Nabi Muhammad SAW pernah berpesan tiga langkah mengatasi rasa marah.
Pertama – Mengawal lidah iaitu berdiam diri 
Kedua -  Mengubah posisi (misalnya, jika berdiri hendaklah duduk), 
Ketiga - Mengambil wuduk dan beristighfar serta membaca al-Quran.

8 faktor yang menjadi punca timbulnya sikap panas baran
  1. Seseorang itu dibesarkan oleh ibu atau bapa yang kuat marah. Kesannya sikap marah ini dipelajari olehnya sejak kecil dan mula diwarisi.
  2. Mengikut pengalamannnya, apabila dia marah maka dia memperolehi apa yang dihajatnya atau orang lain akan tunduk dan ikut kata-katanya. Ganjaran sebegini membuatkan minda bawah sedarnya percaya bahawa dengan panas baran maka matlamatnya boleh tercapai. Tanpa disedari ia menjadi satu habit yang sukar untuk di buang.
  3. Panas baran adalah satu sikap mazmumah yang ada dalam diri dan merupakan pintu masuk syaitan. Apabila dituruti perasaan baran ini seseorang itu boleh menyesali setiap perkataan dan perbuatan yang dilakukannya ketika dibawah perasaan negatif ini.
  4. Disebabkan oleh sifat ego yang terlalu tinggi dan merasakan bahawa dirinya sahaja yang betul berbanding dengan orang lain.
  5. Apabila cakapnya tidak didengar atau nasihat tidak diendahkan, sedangkan padanya apa yang disampaikannya itu penting.
  6. Apabila dirasakan haknya diambil, dirampas atau dicabul.
  7. Apabila seseorang itu merasakan kuasa dan kedudukannya tidak dihormati dan setiap arahan yang diberikan tidak dipatuhi dan dilaksanakan.
  8. Faktor usia yang muda juga ada kaitannya dengan panas baran. Usia yang muda juga biasanya bermakna kurang pengalaman hidup iaitu sukar membuat pertimbangan, kurang peka terhadap perasaan orang lain dan mudah ikut hati dan perasaan.
Yang dikatakan panas baran itu adalah apabila seseorang itu mudah rasa marah dan berulang kali pula melakukan perkara tersebut. Kadang kala perkara kecil juga boleh menimbulkan kemarahan pada kadar yang tidak sepatutnya. Tetapi sebaliknya jika marah itu berlaku sesekali dan bertempat, maka itu bukanlah dikatakan panas baran.
Tanda-tanda seseorang itu panas baran?
Tanda-tanda seseorang itu panas baran ialah apabila dia dengan mudah hilang kawalan sama ada melalui mimik muka, perkataan atau dengan tindakan. Ada ketikanya perkara yang dia hilang kawalan diri merupakan perkara yang kecil dijadikan besar dan kemarahan yang dilontarkan itu melampaui had maka itu tandanya seseorang itu ada sikap panas baran.
9 Punca Panas baran 
1. Perilaku agresif, 
2. Gejala Sosial, 
3. Emosi, 
4. Masalah kewangan/keluarga,
5. Ego, 
6. Tekanan perasaan, 
7. Faktor didikan, 
8. Bebanan kerja, 
9. Faktor persekitaran.

10 Risiko Individu Panas Baran – 
1. Dipulaukan masyarakat sekeliling, 
2. Jiwa kosong (murung), 
3. Hilang pekerjaan/Jawatan, 
4. Penceraian, 
5. Kemalangan, 
6. Pergaduhan, 
7. Kesalahan jenayah, 
8. Melakukan penderaan, 
9. Tekanan perasaan, 
10. Penyakit kronik (darah tinggi, migrain).

12 tip  tangani sikap panas baran
  1. Panas baran datangnya dari api yang meluap-luap dari dalam. Oleh itu ambillah segelas air sejuk lalu minum.
  2. Ambil wuduk dan jika berpeluang terus dirikan solat sunat dua rakaat. Ubah posisi atau kedudukan. Kalau kita sedang marah ketika berdiri maka duduklah. Kalau sedang duduk maka berdirilah. Perubahan posisi ini dapat membantu meredakan perasaan. Rasulullah SAW bersabda “Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak , maka hendaklah ia berbaring” (Riwayat Muslim)
  3. Beristighfar dan berselawat banyak-banyak.
  4. Banyakkan membaca buku-buku motivasi .
  5. Kenali diri sendiri dan ketahui faktor-faktor yang boleh menjadi pemicu kepada sikap panas baran itu. Cuba untuk berada dalam kawalan setiap kali faktor tersebut wujud.
  6. Ingatkan diri sendiri bahawa apa yang dilakukan terhadap orang lain satu hari nanti akan berlaku ke atas diri kita sendiri pula. Ia adalah hukum Karma yang kita tidak dapat lari darinya.
  7. Sedar apa yang ada dalam kawalan kita dan apa pula yang tidak. Jika sesuatu itu bukan dalam kawalan kita, maka marah tidak akan mengubah apa-apa. Sebaliknya ia sekadar membawa penat dan meningkatkan rasa stress yang diakhirnya memudaratkan diri sendiri.
  8. Jika sikap panas baran itu sukar dikawal maka perlu temui Kunselor atau pakar psikatri sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku.
  9. Sentiasa berfikiran positif dan katakan pada diri bahawa setiap yang berlaku itu ada hikmah dan kebaikannya. Fokus kepada hikmah. Misalnya, jika seseorang itu memotong barisan kenderaan dalam kesesakan trafik, kita katakan pada diri “Oh, orang itu mungkin tergesa-gesa mahu ke tandas” , atau, “Oh, mungkin anaknya sakit dan memerlukan dia sampai cepat dan satu hari aku pun mungkin terpaksa lakukan perkara yang sama jika sudah terpaksa”. Dengan cara ini kita telah berjaya alihkan fokus minda dari tertumpu kepada sesuatu yang boleh mencetuskan perasaan baran.
  10. Tinggalkan tempat berlakunya kemarahan tersebut dan pergi ke tempat lain. Lagi lama kita berada di situ lagi tertekan rasanya hati. Ketika sudah berada jauh dari situ, tarik nafas dalam-dalam . Otak ketika marah kekurangan oksigen. Oleh itu pejamkan mata lalu tarik nafas perlahan-lahan dalam kiraan 7 dan rasakan udara sejuk masuk melalui hidung . Lepaskan nafas juga melalui hidung dalam kiraan 7. Rasakan udara panas yang melalui rongga hingga dihembus keluar. Katakan pada diri secara positif , “ Kini aku seorang yang sabar dan tenang serta mampu mengawal diri”.
  11. Mereka yang panas baran perlu banyak riadah sebab badan yang cergas membantu akal untuk mengawal emosi.
  12. Jaga pemakanan, elakkan dari banyak memakan daging merah. Sebaiknya lebihkan memakan sayur dan buah-buahan.
7 bentuk bantuan yang boleh  diberikan kepada seorang panas baran
  1. Jangan tambah lagi kemarahan seseorang itu hingga boleh membawa kemudaratan kepada dirinya atau orang sekeliling.
  2. Faham faktor-faktor yang menjadi pemicu baginya dan cuba untuk tidak memulakannya.
  3. Sabar dengan mereka yang panas baran , cuba bercakap dengannya dalam nada yang perlahan lagi lembut.
  4. Ajar dia beristighfar dan menarik nafas dalam-dalam.
  5. Berikan dia segelas air sejuk.
  6. Usah berada disitu, biarkan dia sendiri buat sementera. Mungkin dia perlukan masa dan ruang untuk kembali rasional.
  7. Wujudkan kumpulan sokongan yang membolehkan mereka yang mempunyai sikap panas baran ini berkumpul berbincang dan meluahkan isi hati. Ada ketikanya menyedari bahawa masalah ini bukan masalah kita seorang banyak membantu kita untuk menerima hakikat dan berusaha memperbaiki diri.
Kesimpulannya
Allah mencipta manusia ini sebagai sebaik-baik kejadian dan sebagai khalifah di muka bumi. Oleh itu setiap bentuk emosi yang dianugerahkan oleh Allah itu adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri. Begitulah juga dengan sikap marah. Jika seseorang itu marah kerana nafsu maka ia akan membawa kepada keburukan sebaliknya jika marahnya itu kerana Allah maka ia akan membawa kepada kebaikan dan kemuliaan. Hidup ini perlu banyak bersabar dan berlapang dada. Hanya dengan kesabaran sahajalah akan wujudnya kejayaan, kebahagiaan dan kemakmuran.

2 comments:

  1. Assalam...sabar itu kemanisan iman.....nanti jadi Hulk..... :)

    ReplyDelete
  2. Ha ha ha...pandai Ummi...kena ada unsur-unsur kecindan dalam kehidupan kita untuk tidak jadi Hulk.....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Keluargaku.....

Mobile Uploads Slideshow: Fauziah’s trip to Kuala Lumpur was created with TripAdvisor TripWow!