Friday, January 25, 2013

BILA REZEKI ITU BERKAT....



Hari ini aku ingin kongsi intipati ceramah yang aku dengar di surau berdekatan rumahku baru-baru ini...semoga Allah swt memberikan aku hidayahnya.....
..................Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman "Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?" Nabi Ayub mejawab "Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu". 


Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.
Kisah-1
Ketika belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia , Salleh (bukan nama  Sebenar) telah bertemu jodoh dengan isterinya Siti Rahmah (bukan nama Sebenar). Salleh mengambil jurusan kejuruteraan manakala Siti Rahmah Mengambil bidang perakaunan. Sekarang mereka telah 15 tahun berkahwin Dan Dikurniakan Allah dengan 7 orang anak. Beberapa bulan yang lepas saya Berkunjung ke rumah Salleh di Kajang. Kebetulan pada pagi Ahad itu selepas Solat Subuh di Masjid Kajang saya bertemu dengan Salleh. Dia terus mengajak Saya ke rumahnya. Dia menyewa rumah teres setingkat tidak jauh dengan Masjid.
Saya mengenalinya sejak hampir 10 tahun yang lalu. Pagi itu tidak sedar Kami telah berbual-bual hampir lima jam. Saya ingin berkongsi tentang Keluarga Salleh ini yang pada saya satu contoh keluarga yang mendapat Keberkatan Allah.
1. Salleh bekerja makan gaji Dan pendapatan bersihnya sebulan kurang dari RM3000.
2. Isterinya adalah anak sulung, walaupun berkelulusan ijazah namun menjadi Suri rumah sepenuh masa atas kehendak Salleh. Sebagai penghargaan kerana Isterinya sanggup tidak bekerja, Salleh memberikan RM300 sebulan kepada Ibu-bapa mertuanya setiap bulan.
3. Di samping itu Salleh juga memberi kepada ibunya di kampung RM200 Sebulan. Bapa Salleh telah meninggal dunia.
4. Dia memiliki Toyota Unser dengan ansuran RM500 sebulan.
5. Dia membayar rumah sewa RM400 sebulan.
6. Di rumahnya serba lengkap dengan perabot (TV, Peti Sejuk, Mesin Basuh, Set Sofa) serta teratur Dan kemas.
7. Pelik tetapi benar, bil elektrik di rumahnya kurang dari RM20 sebulan
Sedangkan jirannya tidak pernah kurang dari RM60. TNB dah buat pemeriksaan Bahawa meter di rumahnya tidak rosak. Begitu juga dengan bil air kurang Dari RM10 sebulan.
8. Empat orang anaknya dihantar ke sekolah agama integrasi.
9. Bayangkan dia boleh hidup dengan Selesa walaupun gajinya kecil jika di nisbahkan dengan keluarganya yang agak besar.
Sejak berkawan dengannya Ada beberapa perkara yang saya lihat jadi amalan dia yang patut di contohi;
1. Solat Duha menjadi amalan hariannya walaupun ketika pergi outstation.
2. Solat Istikharah menjadi suatu amalan walaupun nak membeli benda yang kecil seperti nak membeli mesin basuh.
3. Sering membaca Surah Al-Waqiah
4. Tidak terlibat langsung dengan sistem Riba. Dia menggunakan Kredit Kad Bank Islam. Pinjaman kereta pun menggunakan sistem pinjaman Islam.
5. Buat baik kepada Ibu bapa Dan Ibu Bapa mertuanya.
6. Suka menolong orang dan memberi derma
7. Semua anak-anaknya mempunyai akhlak yang baik Dan jarang kena sebarang Penyakit.
8. Dia dah empat tahun menggunakan Toyota Unser, sekali pun tidak pernah Rosak atau menyusahkannya.
9. Segala masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan mudah Dan cepat.
Kisah-2
Ketika saya bujang dahulu saya sering menziarahi kawan saya, Norizam (bukan Nama sebenar) yang tinggal di Masai Johor. Pada Hari Ahad itu saya sampai Di rumah Norizam selepas waktu Asar. Norizam memperkenalkan Abang dia, Rashid (bukan nama sebenar) yang baru sampai dari Kuala Lumpur . Rashid Berkunjung ke rumah Norizam kerana untuk menghadiri temuduga pada pagi Isnin di Johor Baru.
Kawan saya Norizam ini, dalam beberapa hal dia tidak berpuas hati dengan Abangnya. Kadang kala saya tidak suka mendengar dia merungut tentang Abangnya. Petang itu Norizam merungut lagi iaitu abangnya datang untuk Temuduga kerja sebagai Pengurus Besar (General Manager). Gaji Rashid Sekarang ialah RM10,000 sebulan. Katanya tidak mencukupi. Dia akan minta Gaji sebanyak RM14,000 sebulan untuk tempat baru ini.
Saya pun berasa hairan gaji RM10,000 sebulan tidak mencukupi sedangkan Hanya mempunyai dua orang anak sahaja. Beberapa tahun kemudian baru saya Tahu kenapa gaji abangnya RM10,000 tidak mencukupi. Ini Ada kaitan dengan Tiada keberkatan hidup.
Perkara-perkara yang pada pandangan saya menyebabkan Rashid jadi susah ialah seperti berikut;
1. Banyak sangat terlibat dengan sistem Riba. Pinjaman Kereta, Kad Kredit, Pinjaman Rumah, Akaun Simpanan semuanya Sistem Konvensional (Riba)
2. Menggunakan banyak kad kredit konvensional kemudian bayar pokok sahaja. Bermakna memakan riba yang berterusan.
3. Sering bertukar kereta sebab kereta selalu bermasalah walaupun kereta Baru (Masalah kena curi Dan kemalangan jalan raya)
4. Sering bertengkar dengan isteri.
5. Isteri sering masuk hospital kerana penyakit misteri.
6. Anak perempuan sulungnya yang di tingkatan tiga kena tangkap basah.
7. Suka menengking jika Ada orang mintak derma.
8. Soal sembahyang lima waktu dipandang sebelah Mata sahaja.
Kedua-dua kisah ini adalah sesuatu yang lumrah berlaku di sekeliling Kita.
Kadang kala Kita tidak sedar langsung atau tidak menghiraukan langsung
Untuk mencari keberkatan hidup.



Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah :
1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah. 

2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah. 

3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal.

4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim. 

5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari. 

6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kerana Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). 
Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh.
Jangan anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada sebahagiannya merupakan hak mereka. 

7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam. 

8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. 

9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia) 

10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jualbeli (perniagaan).
Menurut Nabi 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan.
Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%). Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah.
Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa. 

11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.

Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru "Ya Tuhanku,kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)".
Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfaqkan (Belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadith lain, nabi bersabda takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.
Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi.

Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Keluargaku.....

Mobile Uploads Slideshow: Fauziah’s trip to Kuala Lumpur was created with TripAdvisor TripWow!