Tuesday, July 21, 2015

SYAIR INSAN YANG MALANG

Syair ini adalah kisah benar bermula di tahun 1930an di Tanah Melayu yang dikarang bersamaku. Sesungguhnya kisah ini bakal menjadi ingatan buat generasi masa kini.....al fatihah buat arwah ibuku...1935 - 1995
------------------------------------

Marilah taulan kita mendengar,
Kisah sedih tetapi benar,
Seorang insan mencari sinar,
Keluarga miskin hidup terbiar.

Ke sana ke sini mereka merayau,
Mencari rezeki pelusuk rantau,
Tiada siapa yang ambil hirau,
Keluarga papa dihina dihalau.

Akhirnya menetap di sebuah pondok,
Sangat kecil sertalah buruk,
Di situlah baring di situlah duduk,
Terpisah jauh di suatu ceruk.

Bersama lima abang dan adik,
Selalu diasuh serta dididik,
Agar menjadi manusia yang cerdik,
Tiada ditipu dihentak diherdik.

Saban hari kuih dijaja,
Berjalanlah dia merata-rata,
Supaya kuih habis segala,
Tentu di rumah ibu gembira.

Sekali lagi ditimpa malang,
Tatkala Inggeris datang bertandang,
Pondok yang kecil disuruh tumbang,
Konon penyemak mata memandang.

Terlalu pilu rasa di hati,
Rayuan dibuat sudahlah pasti,
Akhirnya menerima ganti rugi,
Tujuh puluh ringgit wang diberi.

Lalu diserah kepada kawan,
Sebagai upah tempat kediaman,
Wang diambil lesap di tangan,
Rumah dijanji tiada ditunaikan.

Tinggallah menumpang walaupun sulit,
Menjaga seorang tua yang sakit,
Menanti ajal sangatlah perit,
Hati yang tabah tiada menjerit.

Ke hadrat Ilahi kembalilah si tua,
Rumah ditinggal menjadi pusaka,
Sebagai balasan jasa mereka,
Menjaga dia sepanjang masa.

Walau hidup serba kesempitan,
Namun ilmu tidak dilupakan,
Anak-anak diberi pelajaran,
Sekadar terdaya ibu berikan.

Berkaki ayam mereka ke sekolah,
Yuran diminta menambahkan gundah,
Bila kesempitan makin bertambah,
Berhentilah anak meskipun tak sudah.

Kini dara telahpun sunti,
Datang pedagang menabur bakti,
Melamar ibu hajat di hati,
Namun anak diberi ganti.

Walau dara berhati walang,
Perintah ibu tidak ditentang,
Sungguhpun usia jauh berselang,
Kerana budi badan digalang.

Bila hidup berumah tangga,
Hati si isteri sentiasa dijaga,
Wang diber harta berganda,
Nikmat dirasa seisi keluarga.

Seorang putera lahirlah sudah,
Bersyukur mereka ke hadrat Allah,
Kasih sayang semakin bertambah,
Hidup dirasa serba indah.

Rupanya bahagia sekejap cuma,
Pedagang terpaksa belayar semula,
Tinggalkan isteri anak segala,
Janjikan pulang suatu ketika.

Hari berganti minggu dan bulan,
Suami tercinta pulang ke pangkuan,
Terlalu penuh sarat muatan,
Gembira rasa tidak tertahan.

Alangkah hairan rasa di hati,
Isteri tersayang dilarang dekati,
Disuruh cerai diminta pergi,
Kononnya lama tidak kembali.

Tinggallah si dia memendam rasa,
Akibat perbuatan pihak keluarga,
Dipinang pula seorang jejaka,
Sama muda sama sebaya.

Namun hidupnya tak pernah senang,
Terbukti derita sering bertandang,
Dipukul disiksa pagi dan petang,
Perangainya tak ubah seperti binatang.

Saban hari dia menangis,
Kaki judi sangatlah pembengis,
Tidak pernah bermuka manis,
Barang kemas semuanya habis.

Tujuh anak tidak dihirau,
Anak tiri dimaki dihalau,
Habis gaji kerana pakau,
Dikeji masyarakat jua dipulau.

Sangat genting akhirnya sampai,
Isteri setia dibenci dicerai,
Airmata jatuh berderai,
Harapan dibina hancur berkecai.

Sepurnama berlalu suami kembali,
Merujuk si dia sekali lagi,
Tidak tahan hidup sendiri,
Mohon kasihan dari si isteri.

Namun perangai tidak berubah,
Walau punah mulut bersumpah,
Ditimpa penyakit mautlah sudah,
Tinggalkan keluarga menanggung padah.

Terpaksalah dia membanting tulang,
Tanpa peninggalan walau sekupang,
Peristiwa dahulu pantang berulang,
Janjikan kebahagiaan kelapan orang.

Nukilan : ARWAH SITI ROKIAH & FAUZIAH AHMAD
BERTARIKH 20.8.1983




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Keluargaku.....

Mobile Uploads Slideshow: Fauziah’s trip to Kuala Lumpur was created with TripAdvisor TripWow!