Monday, March 12, 2012

20 SEBAB TAK PERLU MINTA MAAF


Kalau kita berbuat salah, sudah tentu kita perlu meminta maaf terlebih dahulu. Tetapi ada juga di antara anda yang sering meminta maaf walaupun hakikatnya bukan kita yang melakukan kesalahan/kesilapan. Demi menjaga hati ataupun sebagai tanda hormat, anda yang mengalah. Adakah ini patut terjadi sedangkan pihak lain terus tersenyum kerana anda yang memikul kesalahannya ataupun anda yang menyerah diri walaupun tahu yang anda tidak bersalah?
Jangan begitu! Jika ternyata kesalahan bukanlah berpunca dari anda, adalah menjadi hak anda untuk tidak meminta maaf. Saya telah mengenal pasti 20 sebab mengapa anda tidak perlu meminta maaf.
1 – PERASAAN ANDA

Apa yang anda rasa dan fikir, sepenuhnya adalah hak anda. Jadi jangan rasa bersalah kalau apa yang anda rasakan itu menjadi satu kesalahan walaupun mungkin anda sendiri terpaksa bermasam muka dengan orang lain. Anda berhak mempertahankan pendapat anda kerana setiap individu mempunyai sifat ego tersendiri. Bukan semua orang tahu menghargai perasaan kita sebagaimana mereka mahu anda menghargai perasaannya. Bukan semua orang berupaya menyelami perasaan anda, selain dari diri anda sendiri.

2 – LEBIH BERKEBOLEHAN

Mungkin gaji anda lebih tinggi dari suami/kekasih ataupun anda lebih berkebolehan dalam bidang tertentu berbanding orang-orang yang terdekat dengan anda. Setiap manusia mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Jika ada orang lain yang tidak dapat menerima keistimewaan anda, pedulikan saja!! Anda harus sentiasa berfikiran positif dan menganggap inilah kelebihan yang anda miliki dan bersyukur dengan kurniaan tersebut. Kalau ada yang mempertikaikan kebolehan itu, katakan saja yang setiap manusia dilahirkan mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri. Jangan takut untuk mengakui kelebihan anda yang dimiliki kerana anugerah Tuhan tidak harus dipersiakan!

3 – MASA LALU

Jangan meminta maaf di atas keputusan yang pernah anda laksanakan di masa lalu. Ia adalah kerana apa jua keputusan yang anda lakukan bergantung pada situasi di saat itu. Walaupun ada yang menentang keputusan yang telah anda lakukan, jangan cepat tersentuh. Ingat! Anda tentunya sudah boleh berfikir, mana yang baik dan buruk. Segala keputusan adalah terletak di tangan anda dan ianya amat mempengaruhi hidup di masa akan datang. Tidak harus meminta maaf kerana bukan anda tahu apa yang akan berlaku di masa depan kan?

4 – MENJADI PERHATIAN

Bukan semua orang meminta dirinya menjadi perhatian. Anda jangan risau jika diri mu menjadi perhatian orang. Mungkin ada sebab-sebab tertentu mengapa anda yang dipilih berbanding dengan orang lain. Anda tidak perlu meminta maaf jika ada yang cemburu kerana anda yang mendapat lebih perhatian berbanding mereka. Jika anda ingin lari dari terus menjadi perhatian orang, usahakan agar anda berjaya menghindarinya. Jangan melibatkan orang lain jika anda tidak mahu diri dipersalahkan.

5 – MEMUTUSKAN CINTA

Kalau anda rasa bukan berpunca dari silap anda, anda berhak meminta putus. Untuk apa anda terus menyeksa diri untuk terus bersama si dia sedangkan ternyata dia sendiri yang bersalah. Jangan rasa takut untuk melaksanakan dan anda juga tidak perlu memaksa diri untuk meminta maaf kerana perpisahan ini bukanlah yang anda ingini. Tetapi keadaan yang memaksa!

6 – BERKATA JUJUR

Kejujuran merupakan resipi utama dalam sesebuah perhubungan. Anda tidak perlu takut untuk berterus-terang andai ianya mendatangkan kebaikan pada diri anda. Walaupun mungkin ia boleh mencetuskan salah faham antara anda dan si dia, terpulanglah pada si dia sama ada boleh menerima kejujuran anda ataupun tidak.

7 – BERTERUS TERANG

Kita mungkin mampu membohongi orang lain, tapi tidak pada hati sendiri. Contohnya, anda sudah tertarik pada orang lain sedangkan anda baru saja menjalinkan hubungan dengan si dia. Salah satu sebabnya ialah mungkin anda tidak dapat menerima cara si dia. Jalan terbaik ialah dengan berterus-terang, daripada anda terus menipu si dia dan diri anda sendiri. Nyatakan sebab-sebab mengapa anda tidak dapat menerima si dia lebih daripada seorang teman biasa. Daripada anda terus menyeksa diri kerana terpaksa menerima si dia, lebih baik anda bertindak lebih awal lagi agar perasaan itu tidak terlajak jauh.

8 – TIDAK MENEPATI CITA RASA

Bukanlah perkara yang mustahil untuk anda mementingkan cita rasa anda sendiri. Contohnya dalam memilih pasangan. Untuk apa bersikap hipokrit andai pasangan yang anda pilih langsung tidak menepati cita rasa anda. Sudah tentu anda mahu menjalinkan hubungan dalam tempoh yang lama dan berharap agar ia berkekalan. Lalu anda sepatutnya mencari si dia yang mempunyai ciri-ciri yang anda impikan. Walaupun tidak secara seratus peratus, sekurang-kurangnya ada juga ciri-ciri tersebut pada diri si dia.

9 – TERUS BERTANYA

Untuk mendapatkan kepastian, tentu anda harus melemparkan pertanyaan. Walaupun pertanyaan itu bertubi-tubi, selagi tak mendapat jawapan yang pasti, selagi itulah anda tidak akan berpuas hati. Anda mahu bertanya sehinggalah anda faham. Jangan rasa bersalah kalau anda harus bertanya berulang-ulang kali. Ada kalanya pertanyaan anda itu boleh membuatkan seseorang itu rimas dan bosan, tetapi bukan mudah untuk dia mengakui kesalahannya ataupun menjelaskan perkara yang sebenarnya.

10- MINTA NAIK GAJI/PANGKAT

Tak salah kalau anda meminta agar gaji/pangkat anda dinaikkan setanding dengan usaha yang telah anda laksanakan selama ini. Sudah tentu anda berusaha bersungguh-sungguh demi memantapkan lagi prestasi dan kualiti kerja semata-mata untuk syarikat. Jadi tidak salah kalau anda meminta imbuhan. Memandangkan kos sara hidup semakin tinggi, anda juga memerlukan perbelanjaan yang lebih banyak. Tapi anda perlu yakin dan lebihkan usaha di masa akan datang.

11 – MASIH SOLO

Inilah hidup anda! Walaupun ada kalanya anda berasa bosan kerana masih tidak mempunyai kekasih, ia bukan salah anda. Terpulang pada diri anda sama ada ingin mempunyai kekasih ataupun sanggup bersendirian. Soal cemburu ataupun usikan teman-teman, ketepikan saja. Apa yang penting ialah soal hidup anda sendiri. Bukan menjadi satu kesalahan jika anda memilih untuk bersendirian. Mungkin anda perlukan masa untuk mencari pasangan yang sesuai.

12 – TENTANG KEGEMARAN

Setiap orang mempunyai kegemaran ataupun hobi tertentu. Jangan risau sekiranya ada yang memperkecilkan hobi anda. Pertahankan hobi anda itu dan katakan yang setiap orang mempunyai perangai yang berbeza. Jangan malu-malu mengakuinya kerana ia bukanlah mengganggu kehidupan orang lain, malah menyerikan hidup mu sendiri.

13 – BIJAK DAN AKTIF

Orang yang cantik/kacak tidak semestinya bijak dan aktif. Jangan menilai paras rupa dalam menentukan tahap kebijaksanaan seseorang. Ia juga tidak boleh melabelkan seseorang itu aktif ataupun tidak hanya kerana paras rupa. Anda patut rasa bertuah kerana dianugerahkan kebijaksanaan dan anda juga seorang yang aktif.

14 – MEMINTA BANTUAN

Kalau tidak tahu, eloklah bertanya. Bukan cara terbaik untuk berpura-pura tahu ataupun segan mahu meminta pertolongan orang lain. Ingat, hidup dalam budaya bermasyarakat ini harus saling tolong-menolong antara satu sama lain. Kalau anda memerlukan bantuan, jangan segan-segan meminta pertolongan daripada orang yang boleh membantu anda menyelesaikan masalah. Jika ada yang mentertawakan anda kerana perkara kecil pun anda tidak tahu, terus-teranglah mengatakan lebih baik bertanya daripada jadi bodoh sombong! Tak ada faedah langsung!

15 – BUKAN BERPUNCA DARI ANDA

Ada seorang teman memarahi anda kerana rahsianya terbongkar, sedangkan anda bukanlah puncanya. Jadi untuk apa rasa takut kerana bukannya salah anda. Berterusteranglah pada si dia yang anda tidak melakukannya sebaliknya mungkin ada pihak lain yang cuba mempergunakan nama anda. Nyatakan sebab-sebab kukuh dan relevan tentang pengakuan anda. Yakinkan dirinya yang anda seorang penyimpan rahsia yang boleh dipercayai. Kalau boleh selidiklah siapa yang punya angkara untuk membuktikan anda benar-benar tidak bersalah!

16 – PANDU BERHATI-HATI

Salah satu perkara normal yang diperkatakan ialah pemandu wanita suka memandu perlahan! Selalu juga kena hon. Katakan saja pada diri sendiri yang anda ini pemandu berhemah dan berhati-hati di jalan raya. Kalau ada pemandu lain yang membunyikan hon ataupun memarahi anda, pedulikan saja. Janji anda tidak melanggar peraturan lalu lintas. Kalau setiap kali anda meminta maaf jika ada yang membunyikan hon ataupun memarahi anda, tentu nanti ada pula yang mengambil kesempatan di atas ‘kebaikan’ anda itu.

17 – ORANG MENUDUH ANDA

Jika memang bukan anda yang lakukan, mengaku saja. Jangan biarkan orang memaksa anda mengaku sedangkan kesalahan itu berpunca dari orang lain. Walaupun mungkin ketika itu anda agak gelabah kerana digertak, jangan cepat meminta maaf. Bak kata pepatah, ‘Berani kerana benar, takut kerana salah.’ Kalau anda mengaku, alamatnya anda akan disalah sangka. Jangan sesekali mengucapkan ‘Saya minta maaf’, sedangkan dalam hati anda meronta-ronta mengatakan bahawa anda tidak bersalah dan menjadi mangsa keadaan.

18 – TIDAK TERLALU MEMENTINGKAN PENAMPILAN

Jangan merendah diri jika ada yang memperkatakan penampilan anda tidak sesuai dengan perkembangan semasa. Jangan terlalu mengikut telunjuk orang dan ini membuatkan diri anda hipokrit. Jangan takut-takut untuk membantah kalau ia tidak bersesuaian dengan jiwa anda. Tapi kalau anda membantah, ucapan meminta maaf bukan cara terbaik untuk dilafazkan. Ikut prinsip anda dan jangan mudah dipengaruhi oleh orang lain.

19 – TIDAK SAMA HALUAN
Anda mempunyai teman rapat. Ke mana saja pasti berdua bagaikan belangkas. Tetapi ada beberapa perkara yang anda tidak boleh melakukan bersamanya iaitu anda suka bersukan sedangkan dia gemar menonton wayang. Jika percanggahan ini berlaku, anda harus bijak menanganinya. Katakan saja perkara ini tidak boleh dipaksa. Anda tidak boleh memaksa dia meminati sukan dan sebaliknya. Usah minta maaf walaupun ada kalanya tercetus perselisihan faham. Walaupun rapat, suatu hari nanti, pasti akan membawa haluan sendiri. Sampai bila hendak bergantung antara satu sama lain.

20 – DIPAKSA

Sukar untuk melakukan sesuatu pekerjaan ataupun perkara yang dipaksa oleh orang lain. Jika dilakukan juga, timbul rasa jengkel dan tidak ikhlas. Jadi lebih baik tidak melakukannya dan katakan saja yang anda tidak suka dengan tugasan tersebut. Jangan berasa bersalah dan meminta maaf kerana anda tidak melakukan tugasan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Keluargaku.....

Mobile Uploads Slideshow: Fauziah’s trip to Kuala Lumpur was created with TripAdvisor TripWow!