Saturday, February 12, 2011

KISAH AYAHKU

Seorang guru sekolah. Setakat yang aku ingat pernah mengajar di SK Permatang Sintok dan SK Tasek Gelugur. Mempunyai sebuah motosikal besar berwarna merah dan lebih dikenali masa tu sebagai Cikgu Mat motor merah. Orangnya tegas dan hidup aku adik-beradik penuh dengan peraturan serta disiplin yang harus dipatuhi.

Antara peraturannya ialah kalau tak mandi, jgn berangan nak makan. Makan pula ada waktunya sebab kami makan bersama. Kalau terlepas waktu makan, laparlah sebab makanan untuk kita akan disuruh yang lain habiskan. Solat pun berjemaah. Seingat aku makan malam jam 6 atau 6:30 petang. Kena berada di rumah sebelum waktu tu. Kalau leka bermain dan balik lambat, maka rotanlah habuannya. Selepas selesai makan malam, kami akan solat maghrib berjemaah. Sementara menunggu waktu Isyak, ayah akan mengajar mengaji dan bacakan kisah-kisah nabi atau kitab-kitab agama. Jangan cuba nak tidur waktu ni, tahulah akibatnya.

Aku sering membonceng motosikal ayah ke sekolah. Kadang-kadang ayah bawa aku singgah di rumah kawan-kawannya. Aku memang seorang yang manja dan tidak pernah dipukul oleh ayahku walaupun dia agak garang. Satu sikapnya yang paling aku hormati ialah begitu teliti dalam menyediakan akaun keluarga kerana emakku tak bekerja. Jadi setiap bulan perbelanjaan dibuat dengan teratur.

Ayah paling tak suka kalau anak-anaknya terlibat dengan dunia muzik. Pernah gitar abang sulungku, Abang Li dipatahkan. Namun ketika itu zaman pop yeh yeh, abang Li sering juga ikutkan hati mudanya. Menyusup keluar rumah tanpa pengetahuan ayah. Aku pun berasa pelik juga dengan sikap ayah. Kadang-kadang tu ada juga aku lihat dia menyanyi-nyanyi dan menari.

Namun belum puas aku mengecap kasih sayangnya, dia telah pergi menemui Allah swt ketika usiaku 9 tahun. Ayah meninggal dan dikebumikan di Kg Gurun. Setiap kali raya atau kesempatan waktu yang ada ketika pulang ke kampung, aku tak akan lupa untuk menziarahi pusaranya. Semoga rohnya dirahmati. Amin.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Keluargaku.....

Mobile Uploads Slideshow: Fauziah’s trip to Kuala Lumpur was created with TripAdvisor TripWow!