Thursday, February 24, 2011

TABUNGLAH DULU...BELANJA DI KEMUDIAN HARI KELAK....

Saya sertakan satu artikel yang dihantar oleh rakan saya untuk tatapan dan panduan kita bersama.

Dalam siri artikel ini, kita akan mengharungi perjalanan hidup Alisa dan lihat bagaimana Alisa mengamalkan prinsip-prinsip yang dipupuk oleh kedua-dua ibu-bapanya di zaman kanak-kanaknya. Seperti mana yang ditekankan sebelum ini, salah satu daripada pengukur untuk mengetahui sama ada ibu bapa telah mendidik anak dengan berjaya ialah dengan ”Mendidik anak untuk melakukan amalan-amalan baik dan apabila dia telah dewasa, dia tidak meninggalkan amalan tersebut”.

Pengenalan

Alisa kini seorang gadis yang baru sahaja menamatkan pengajiannya dengan memperoleh ijazah dalam bidang Komunikasi Massa. Berbeza daripada ayahnya, dia tidak bekerja secara sambilan pada cuti semesternya. Sebaliknya, dia membuat kerja sosial secara sukarela dengan memberi tuisyen kepada kanak-kanak orang asli, melawat rumah warga tua dan anak yatim dan juga terlibat dalam beberapa kempen pengumpulan dana untuk membantu kaum miskin. Dia betul-betul prihatin tentang orang yang kurang bernasib baik dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan apabila keadaan memerlukannya. Sebagai mahasiswi, dia mungkin tidak mampu memberi sumbangan dalam bentuk derma tetapi dia sedia meluangkan masa lapangnya untuk berkongsi dan melakukan kerja-kerja amalan yang baik.
Hari Pertama Kerja

Selepas memperoleh ijazahnya, dia tidak terburu-buru mencari kerja seperti orang lain. Malah dia meneruskan kerja amalnya secara sukarela di beberapa rumah kebajikan. Sepanjang tiga bulan tersebut dia mendapat pengalaman yang berharga dan tanpa disedarinya, ia seolah-olah suatu 'orientasi' sebelum menceburi dunia kerja yang sebenarnya.
Pada suatu hari, dia terima panggilan untuk hadir untuk temu duga di sebuah stesen TV untuk jawatan wartawan penyiaran. Mereka kagum dengan pengalaman serta keghairahannya membantu di rumah-rumah kebajikan serta pencapaian akademiknya yang cemerlang, dan terus mengesahkan jawatannya. Tugasan pertamanya adalah untuk menjalankan penyelidikan di pelbagai rumah kebajikan di Malaysia dan ini bagaikan impian yang lama diidam-idamkannya. Dia segera setuju (tanpa menanya gajinya terlebih dahulu) dan terus memulakan tugasnya. Pada hakikatnya, hari pertama kerjanya telah bermula jauh sebelum dia menerima tawaran tersebut.
Cek Gaji Pertamanya

Dalam sekelip mata, sebulan telah berlalu. Alisa hanya menyedarinya apabila melihat slip gajinya di atas mejanya. Dia terfikir apa yang harus dia buat dengan wang cek gaji pertamanya dan teringat pesan ayahnya. “Wang umpama baja; anda perlu mengagihkannya untuk pulangan yang lebih lumayan.” Jadi dia mengambil keputusan untuk membelanjakan kesemuanya…tetapi bukan atas dirinya!

Pertama sekali, dia ingin tunjukkan penghargaannya kepada kedua-dua ibu bapanya dan bercadang menjemput mereka keluar makan malam di sebuah restoran mewah. Dia juga ingin membelikan mereka hadiah istimewa. Lagipun, ibu bapanya telah banyak berjasa dan berkorban pada dirinya.

Seterusnya, dia segera mula membayar balik pinjaman pengajian PTPTN melalui Arahan Tetap (SI) kepada bank yang telah diambilnya untuk membiayai pengajiannya. Dia masih teringat kata-kata ayahnya – “Jangan sekali-kali meminjam, tetapi sekiranya tiada pilihan lain, anda mempunyai tanggungjawab untuk membayar balik jumlah sepenuhnya dan dengan secepat mungkin.” Dia mengetepikan kira-kira RM120 setiap bulan bagi tujuan ini dan mampu menjelaskan pinjamannya sepenuhnya dalam tempoh 5 (lima) tahun.

Kemudian dia teringat pula nasihat ayahnya: “Tabunglah Dahulu, Belanja di Hari Kelak!” Dia mengambil keputusan untuk melabur dalam skim Amanah Saham dengan memberikan Arahan Tetap kepada banknya untuk memotong 10% daripada gajinya.


Akhir sekali, dia tidak lupa tentang rumah-rumah kebajikan di mana dia bekerja secara sukarela. Dia membelanjakan baki wang yang ada untuk membeli beberapa permainan, makanan dan pakaian bagi anak yatim piatu serta warga tua. Wajah mereka tersenyum berseri-seri dan bagi Alisa, ini tak ternilai! Ketika itu, dia sedar akan hikmah di sebalik nasihat ayahnya...
Kata-Kata Hikmah

Masih anda ingat bagaimana anda membelanjakan Gaji Pertama anda? Kebanyakan orang menghabiskan gaji mereka atas diri masing-masing sebagai suatu ganjaran kerana mampu bertahan dalam bulan pertama! Bukan salah bagi kita mengganjarkan diri masing-masing tetapi ada kalanya cara kita membelanjakan gaji pertama kita boleh dijadikan tabiat bagi cara kita akan membelanjakan gaji kita yang seterusnya. Langkah terbaik adalah dengan mengikut nasihat ayah Alisa. Sekiranya anda menghabiskan kesemua gaji anda atas diri sendiri – anda masih akan menerima cek pada bulan-bulan berikutnya dan masih boleh menentukan cara anda mahu membelanjakannya (ataupun menabungnya), bukankah begitu?
Nasihat Ayah:
  1. Wang umpama baja; anda perlu mengagihkannya untuk mendapat pulangan yang lebih lumayan
  2. Jangan sekali-kali meminjam, tetapi sekiranya tiada pilihan lain, anda mempunyai tanggungjawab untuk membayar balik jumlah sepenuhnya dan dengan secepat mungkin!
Tabunglah Dahulu, Belanja di Kemudian Hari Kelak!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Keluargaku.....

Mobile Uploads Slideshow: Fauziah’s trip to Kuala Lumpur was created with TripAdvisor TripWow!