Tuesday, February 15, 2011

MAAL HIJRAH

Tema "1Malaysia 1Ummah" itu bertepatan dengan usaha kerajaan untuk membina masyarakat bersatu padu berasaskan konsep 1Malaysia dengan membina perpaduan dan kekuatan bagi mencapai kegemilangan ummah berdaya saing dalam berhadapan arus globalisasi serta kemajuan sains dan teknologi masa kini.
Selain perhimpunan itu, sambutan Maal Hijrah kali ini juga akan dipenuhi dengan beberapa program termasuk Forum Khas Maal Hijrah yang membincangkan "1Malaysia 1Ummah: Hijrah Cinta, Bertaut Fitra", serta Majlis Bacaan Surah Yasin dan Bacaan Doa di Masjid Negara pada Isnin ini. – BERNAMA


Menghayati sejenak Peristiwa Hijrah

Tanggal 1 Muharram merupakan detik yang bersejarah buat umat Islam. Tarikh tersebut merupakan hari pertama dalam perkiraan tahun hijrah. Menyingkap kembali sejarah peristiwa hijrah Rasul dan para sahabat, terkandung di dalamnya pengajaran dan hikmah buat perkembangan islam itu sendiri.

Berbicara tentang Hijrah Rasul, sebenarnya kita sedang membicarakan tentang sejarah. Apabila berbicara tentang sejarah, kita harus sedar bahawa sejarah sebenarnya merupakan bicara Allah kepada hamba-hambanya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi mampu disedari melalui mata hati. Dengan erti kata lain peristiwa hijrah ini mengandungi hikmah yang harus diterokai sebagai pedoman buat generasi seterusnya. Sesungguhnya Allah tidak akan menjadikan sesuatu perkara secara sia-sia.

Persoalannya, adakah kita generasi kini menyedari hikmah dan pengajaran yang tersurat dan tersirat yang terkandung di dalam hijrah Nabi sebagai pedoman dalam kehidupan kita? Saban tahun kita meraikan sambutan 'Maal Hijrah', namun apakah ianya merupakan sambutan semata-mata? Apakah yang kita fahami tentang hijrah? Adakah hijrah sekadar perpindahan yang berbentuk fizikal semata-mata?
Persoalan ini harus kita rungkaikan supaya hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah dapat difahami dan dihayati.

Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Marilah kita mencontohi para sahabat yang sanggup berkorban demi kepentingan Islam. Sesungguhnya Hijrah tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa jihad, perpaduan dan kecintaan terhadap Allah.
Apa maknanya kita menyambut sambutan Maal Hijrah jika kita semakin jauh dengan Islam? Apakah ertinya kita menghayati sambutan Maal Hijrah. Jika jihad masih disalah anggap dan menjadi satu istilah yang amat menakutkan. Apalah gunanya sambutan Maal Hijrah yang kita sambut jika perubahan yang ada hanyalah menunjukkan umat Islam bertambah lemah dan menjadi mangsa penindasan barat malah terus dihina dan dicerca dengan tuduhan sebagai pengganas dan pemecah-belah.

Seharusnya peristiwa hijrah ini mengajar kita bahawa perpaduan amat penting dalam kita membangunkan sesebuah negara. Cuba kita renungkan kembali bagaimana perpaduan yang telah terjalin antara kaum Muhajirin dan Ansar di bawah bumbung Islam telah berjaya mambentuk khilafah Islamiyah. Dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia yang menyaksikan bangsa, kaum dan etnik, maka amat wajar umat Islam di Malaysia mempamerkan semangat toleransi dan kasih sayang selari dengan ajaran Islam yang amat menitik beratkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah.
Soalnya lagi… sejauh mana kita benar-benar menghayati sambutan maal hijrah dalam memberikan kesan yang positif terhadap diri kita? Hijrah menuntut perubahan dari segala aspek ke arah kebaikan. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa orang yang beruntung adalah mereka yang hari ini lebih baik dari semalam. Marilah sama-sama kita menjadi mereka yang beruntung.

Islam itu datang dengan semangat perpaduan. Islam tidak pernah mengasingkan atau datang dengan sistem 'kasta' dalam kehidupan. Semua manusia itu sama yang membezakan mereka hanya ilmu dan amal.

“Apakah kamu mengira, Kami menciptakan kamu untuk bermain-main sahaja? Sedangkan kamu kepada Kami tidak akan dikembalikan?” Surah Al-Mukminuun ayat 115.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Keluargaku.....

Mobile Uploads Slideshow: Fauziah’s trip to Kuala Lumpur was created with TripAdvisor TripWow!