Oleh ROHAMI SHAFIE
(Utusan Malaysia - Isnin 20 Jun 2011)
Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB),
Universiti Utara Malaysia.
MESKIPUN isu bahasa Melayu sudah lama diperkatakan, namun
setakat ini tiada perubahan drastik yang boleh dilihat bagi memartabatkan
bahasa rasmi Malaysia di buminya sendiri.
Bahasa Melayu layu di tanah air sendiri. Layu umpama menanti
rebah ke bumi. Pengalaman penulis ketika berada di Kuala Lumpur baru-baru ini,
menggambarkan bahawa Bahasa Melayu dipinggirkan oleh rakyat Malaysia sendiri.
Ketika penulis tercari-cari jalan
menuju ke sebuah kilang di Petaling Jaya, penulis berhenti sejenak untuk bertanya laluan ke kilang tersebut di salah sebuah kilang automatif.
menuju ke sebuah kilang di Petaling Jaya, penulis berhenti sejenak untuk bertanya laluan ke kilang tersebut di salah sebuah kilang automatif.
Penulis menemui tiga orang pekerja rakyat Malaysia di kilang
tersebut dan bertanyakan soalan dalam bahasa Melayu. Setiap kali penulis
bertanya dalam bahasa Melayu, dibalas oleh mereka dalam bahasa Inggeris.
Sebanyak tiga kali penulis bertanya kepada mereka
sehinggakan penulis beranggapan betapa rendahnya martabat bahasa Melayu di hati
pekerja-pekerja kilang tersebut. Walhal, mereka sememangnya memahami soalan
penulis. Jika tidak mana mungkin mereka mampu menjawab dengan baik apa yang
ditanya oleh penulis.
Itu kejadian pertama. Kejadian kedua berlaku pada
bekas-bekas pelajar penulis. Ramai di antara mereka bercita-cita untuk bekerja
di syarikat multinasional antarabangsa. Ada di antara mereka dipanggil temu
duga.
Sungguh memeranjatkan, terdapat syarikat minyak antarabangsa
yang mengenakan syarat mahir berbahasa Mandarin untuk diambil bekerja. Sudahlah
hanya segelintir orang Melayu dipanggil temu duga berbanding bukan Melayu,
syarat berbahasa Mandarin pula disebut ketika ditemu duga.
Kalau begitu, lebih baik tidak dipanggil temu duga langsung.
Buang masa sahaja! Adakah memanggil orang Melayu untuk ditemu duga hanya untuk
memenuhi syarat kononnya tiada berlaku diskriminasi kaum? Syarat sebegini wajib
dihapuskan.
Pernahkah kita mendengar syarikat-syarikat Jepun yang
beroperasi di Malaysia mengenakan syarat bahasa Jepun untuk mengambil pekerja
Malaysia bekerja dengan mereka?
Mohon pihak berkuasa dan barisan kabinet buatlah sesuatu
agar lebih ramai orang Melayu dan bumiputera bekerja di syarikat-syarikat
multinasional tanpa adanya syarat mahir berbahasa Mandarin.
Kalau tidak, orang Melayu dan bumiputera hanya bekerja di
jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Bagi penulis
perkara ini amat memalukan.
Kita cuba lihat di negara-negara lain seperti Perancis dan
Jepun, hatta jiran kita Indonesia dan Thailand, rata-rata keseluruhan rakyat
mereka menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan peribadi dan rasmi.
Penulis ingin memberi dua contoh bagaimana rakyat mereka
berbangga dengan bahasa mereka sendiri. Cuba kita bercakap dalam bahasa
Inggeris ketika mula-mula menjejaki bumi Perancis.
Percayalah, mereka tidak akan layan kita. Mereka akan layan
sehinggalah kita bercakap dalam bahasa Melayu atau bahasa selain bahasa
Inggeris, barulah mereka mula bercakap dalam bahasa Ingeris. Sebenarnya mereka
mengharapkan kita bercakap dalam Bahasa Perancis.
Itu kes pertama, kes kedua berlaku sendiri pada rakan
penulis ketika belajar di United Kingdom. Wajah rakan penulis ini ada iras-iras
orang Jepun, maka, selalu sahaja berlaku kejadian orang Jepun memarahi beliau.
Puncanya kerana menyangkakan beliau merupakan orang Jepun,
maka soalan-soalan yang diajukan kepada beliau dalam bahasa Jepun. Apabila
setiap kali beliau menjawab dalam bahasa Inggeris dengan menyatakan bahawa
beliau tidak memahami bahasa Jepun, orang Jepun ini memarahinya dalam bahasa
Inggeris bahawa beliau sudah lupa daratan kerana tidak mahu bercakap dalam
bahasa Jepun!
Perancis dan Jepun adalah dua bangsa yang jauh maju ke
hadapan berbanding Malaysia tetapi di hati mereka hanyalah bahasa kebangsaan
mereka. Kita pula masih tercari-cari rentak untuk bergelar negara maju, tetapi
sudah mula lupa diri.
Apakah akan terjadi pada tahun 2020 nanti? Adakah ketika itu
bahasa Melayu hanya sesuai menjadi tatapan generasi 2020 sebagai salah satu
lipatan sejarah di Muzium Negara?
Malaysia tidak akan menjadi negara maju dan mapan jika
rakyatnya sendiri tidak mempunyai jati diri mempertahankan kekuatan yang ada.
Bahasa Melayu adalah salah satu kekuatan yang wajib dipertahankan. Paling
penting bahasa Melayu wajib dimartabatkan sehingga seluruh Malaysia
menggunakannya tanpa rasa segan dan silu.
Mengambil iktibar seorang profesor rakyat Malaysia yang
bukan berbangsa Melayu, bekerja di luar negara berpuluh-puluh tahun lamanya
tetapi masih berbicara dalam bahasa Melayu dengan fasihnya apabila berada di
sini.
Kita yang menetap di Malaysia janganlah sesekali merendahkan
bahasa kebangsaan kita sendiri. Tiada gunanya bahasa Melayu dinyatakan dengan
jelas dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan tetapi pengisiannya tidak
langsung menggambarkan ia sebagai bahasa teras rakyat Malaysia.
Pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan. Sebagai permulaan,
penulis mencadangkan agar bahasa Melayu diamalkan dan dimartabatkan dalam
segala program transformasi kerajaan (Program Transformasi Kerajaan, Model Baru
Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi) dan selepas itu diperluaskan dalam
segala urusan kehidupan rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment