Antara intipati pelaksanaan SBPA yang dipersetujui oleh Kerajaan adalah seperti berikut:
1.
pelaksanaan transformasi Perkhidmatan Awam melalui lima (5) inisiatif
iaitu Perkhidmatan Awam yang kejat (lean civil service), kepimpinan
dinamik, modal insan berkualiti, Perkhidmatan Awam yang fleksibel dan
saraan yang kompetitif;
2.
pewujudan Pelan Induk Saraan Perkhidmatan Awam (PISA) bagi melaksanakan
rombakan sistem saraan Perkhidmatan Awam secara tersusun.
3.
pengekalan prinsip-prinsip saraan yang berkuat kuasa dengan penambahan
empat (4) prinsip baru iaitu kadar upah untuk kerja mengikut Kumpulan
Perkhidmatan, kadar upah untuk individu berdasarkan bakat, keupayaan dan
pengalaman, kadar upah untuk kerja bagi individu (subject matter
expert) serta kadar upah tambahan untuk kerja mengikut prestasi;
4.
pembentukan hierarki Perkhidmatan Awam yang terdiri daripada empat (4)
peringkat iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi,
Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana yang
menggantikan Kumpulan Sokongan;
5.
peruntukan gaji secara single point tanpa Kenaikan Gaji Tahunan kepada
Kumpulan Premier dan konsep Jadual Gaji Minimum-Maksimum kepada Kumpulan
Pengurusan Tertinggi dengan Kenaikan Gaji Tahunan diberi mengikut
pencapaian prestasi;
6. peruntukan Jadual Gaji Sebaris kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana;
7.
pelaksanaan enam (6) strategi untuk merealisasi inisiatif Perkhidmatan
Awam yang kejat iaitu kawalan saiz Perkhidmatan Awam (right-sizing),
kajian pertindihan fungsi antara agensi (duplication), penjajaran fungsi
utama perkhidmatan (realignment), perkhidmatan yang boleh diserah urus
(outsourcing), perekayasaan proses kerja (business process
reengineering) dan kajian semakan skim perkhidmatan (revision);
8.
penambahbaikan laluan kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan melalui
pelaksanaan konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru dengan memberi fokus
kepada Laluan Pengajaran dan Pembelajaran (LPDP);
9.
penambahbaikan laluan kerjaya pegawai dan anggota dalam Senarai Tugas
Am ATM berdasarkan subject matter expert dalam bidang-bidang kritikal
dengan diberi kenaikan gred gaji tanpa bersandarkan kepada pangkat;
10.
pemberian peningkatan gred gaji yang setara dengan gred kenaikan
pangkat tanpa dinaikkan pangkat ke jawatan kosong kepada pegawai yang
diiktiraf sebagai subject matter expert;
11.
pengenalan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) yang
mengandungi dua (2) komponen iaitu Penilaian Kompetensi dan Potensi
(PKP), dan Program Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP) bagi
menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan;
12.
perluasan pemberian kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh kepada pegawai
dalam Kumpulan Pelaksana bagi membolehkan pegawai mengikuti latihan
kemahiran di bawah program SkillsMalaysia;
13.
pengekalan prinsip-prinsip pemberian elaun sedia ada dan penambatan
kadar bagi empat (4) elaun yang pada ketika ini kadarnya ditentukan
berdasarkan gaji iaitu Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Bayaran
Insentif Subjek Pendidikan, Bayaran Insentif Wilayah dan Bayaran
Insentif Pedalaman;
14.
pengekalan prinsip-prinsip pemberian kemudahan sedia ada dengan
penambahbaikan melalui Program Keseimbangan Kehidupan dan Kerjaya yang
memperkenalkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah;
15.
pemansuhan dasar pelepasan dengan izin yang diganti dengan dasar
pelepasan jawatan bagi mempertingkat mobiliti pegawai dalam
perkhidmatan;
16.
pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) kepada penjawat awam yang
berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan
perkhidmatan;
17.
penyelarasan pencen kepada pesara Perkhidmatan Awam secara peratusan
berasaskan kajian berkala kos sara hidup berkuat kuasa mulai 1 Januari
2013;
18. peningkatan umur persaraan wajib dari 58 tahun ke 60 tahun bertujuan mengekalkan pegawai mahir di dalam perkhidmatan; dan
19. pengekalan pegawai yang menolak SBPA di bawah sistem saraannya, skim perkhidmatan dan syarat perkhidmatan sedia ada (SSM)
SUMBER :Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
7 Disember 2011
No comments:
Post a Comment